
SHAKAHOLA: Angka kematian di sebuah ladang di Kenya yang dimiliki oleh seorang paderi yang dituduh mengetuai kultus agama ajaran sesat yang engarahkan pengikutnya berlapar jika ‘ingin menemui Tuhan’ telah mencecah 90 mangsa.
Jumlah angka terbaharu itu dicatat selepas polis menggali 17 lagi mayat, yang mana Persatuan Palang Merah Kenya mencatat angka terkini jumlah individu yang hilang ialah 213; manakala jumlah keseluruhan mereka yang berjaya diselamatkan ketika kelaparan di ladang itu kini berjumlah 34 orang, lapor The Guardian.
Ketua ajaran sesat itu, Paul Mackenzie Nthenge yang mengetuai gereja Good News International, dituduh ‘memikat’ hati pengikutnya kebanyakannya golongan kanak-kanak untik berkumpul di sebuah ladang berhampiran bandar pesisir pantai Malindi.
Dia didakwa menyuruh mereka berpuasa sehingga mati untuk bertemu Tuhan sebelum menguburkan mereka di kubur cetek yang kemudiannya tular menyebabkan pihak polis tempatan aset miliknya awal bulan ini, dan dia kini masih dalam tahanan polis sementara menunggu perbicaraan mahkamah.
Terdahulu, Nthenge telah ditangkap dua kali sebelum ini, pertama kali pada tahun 2019 dan terbaharu, Mac tahun ini, berkaitan dengan kematian kanak-kanak, namun setiap kali ditahan, dia dibebaskan dengan bon, dan kedua-dua kes masih diteruskan melalui sistem mahkamah.
Menteri Dalam Negeri Kenya, Kithure Kindiki dalam kenyataannya padsa Selasa (25 Apr) berkata, pasukan keselamatan akan meningkatkan misi mencari dan menyelamat untuk menyelamatkan seramai mungkin nyawa mangsa ajaran sesat tersebut.
“Keseluruhan tanah ladang seluas 800 ekar (320 hektar) yang merupakan sebahagian daripada ladang Shakahola dengan ini diisytiharkan sebagai kawasan kejadian dan zon operasi,” katanya Kindiki ketika melawat kawasan itu.
Menteri itu menambah bahawa akan ada titik perubahan bagaimana negara menangani ancaman yang disebabkan oleh ekstremisme agama dan sedang meneliti satu lagi pemujaan ajaran sesat yang disyaki di daerah yang sama.

“Kami telah menyalurkan jaringan lebih luas kepada pertubuhan agama lain di Kilifi. Kami telah membuka siasatan rasmi mengenai kumpulan agama ini dan kami mendapat petunjuk penting bahawa mungkin (ini) adalah ‘jawapannya’,” kata Kindiki.
Pasukan yang menggali di tapak ladang berkenaan telah menemui mayat reput yang ditanam dalam kubur besar dan tunggal yang ditandakan dengan salib.
Sesetengah mangsa yang tinggal di rumah berlumpur di dalam ladang telah melarikan diri sebelum kawasan itu diserbu pasukan penyelamat, manakala kebanyakannya mereka yang tidak boleh berjalan atau bercakap telah diselamatkan setakat ini.
Laporan AFP pula menyebut bahawa majoriti mangsa yang meninggal dunia ialah golongan kanak-kanak yang dipaksa berlapar oleh ibu bapa mereka sendiri, sekali gus membuktikan betapa kejamnya amalan kumpulan ajaran sesat itu.
Sementara itu, tambah laporan The Guardian, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kumpulan Muslim untuk Hak Asasi Manusia yang berpangkalan di Mombasa menggesa kerajaan Kenya untuk mempertimbangkan pilihan menggunakan pengawasan udara dengan menggunakan helikopter untuk menyelamatkan lebih ramai orang dan mempercepatkan proses mencari dan menyelamat mangsa ajaran sesat.
Bedah siasat ke atas mayat itu akan dimulakan pada Khamis (27 Apr) dengan media tempatan melaporkan bahawa bilik mayat kerajaan di Kilifi telah penuh dengan mangsa yang maut dalam kes terburuk akibat pemujaan ajaran sesat yang pernah direkodkan di Kenya. – HARAKAHDAILY 26/4/2023




















