Saudi pindahkan 199 pelbagai bangsa dari Sudan

Seorang anggota penyelamat Arab Saudi menggendong seorang kanak-kanak yang dpindahkan dari Sudan dan tiba di pelabuhan Jeddah pada lewat 24 April 2023. (FOTO: Saudi Gazette)
- Advertisement -

JEDDAH: Arab Saudi berjaya memindahkan 199 orang yang terkandas dari pelbagai bangsa dan negara dari Sudan.

Kementerian Luar Negeri Saudi dalam kenyataannya pada lewat Isnin berkata, sebuah kapal Saudi yang mengangkut 10 rakyat negara itu dan 189 warganegara pelbagai negara lain tiba di Pangkalan Tentera Laut Raja Faisal di Jeddah.

- Advertisement -

“Sebagai penerusan usaha yang dilakukan oleh Arab Saudi di bawah arahan kepimpinannya dalam memindahkan warganya dan warga dari Sudan ke Saudi, 10 warga Saudi tiba di Jeddah, dan jumlah warga dari negara lain yang dipindahkan mencecah 189 orang,” ujar kenyataan itu, lapor Saudi Gazette.

“Ini menjadikan jumlah individu yang telah dipindahkan dari Sudan sejak permulaan operasi pemindahan mencecah kepada kira-kira 356 orang merangkumi 101 warga Saudi dan 255 yang lain daripada 26 negara,” tambah kenyataan tersebut.

Antara warga pelbagai negara yang berjaya dipindahkan oleh Saudi dari Sudan termasuklah Amerika Syarikat, United Kingdomn, Sweden, Itali, Qatar, Syria, Belanda, Iraq, Turkiye, Tanzania, Lubnan dan Libya.

Sehubungan itu, lebih sedozen diplomat yang mewakili negara individu yang tiba dari Sudan di Jeddah hadir untuk mengalu-alukan ketibaan mangsa yang dipindahkan.

“Kerajaan Saudi bekerja keras untuk menyediakan semua keperluan yang diperlukan warga asing sebagai persediaan untuk memudahkan mereka berlepas ke negara mereka,” tambah Kementerian itu. – HARAKAHDAILY 25/4/2023

- Advertisement -