Fahmi Fadzil bermuka-muka

- Advertisement -

KELMARIN tular gambar Menteri Komunikasi dan Digital, YB Fahmi Fadzil dalam majlis apresiasi pengamal media. Majlis diadakan di Hilton Hotel bertaraf 5 bintang itu mengundang kecaman pelbagai pihak termasuk pengamal media sendiri. Sehari sebelum itu, Menteri yang sama juga mengadakan majlis bersama pempengaruh media di Hotel Pullman yang juga bertaraf 5 bintang.

Kecaman ini sangat berasas. Rakyat yang kini sedang menderita dengan kenaikan harga barang, kos sara hidup yang semakin menekan namun penyelesaian makan nasi lemak dari vending machine yang diketengahkan oleh kerajaan. Menteri yang sepatutnya memikirkan masalah rakyat tetapi dengan senang lenang mengadakan majlis mewah di hotel 5 bintang. Situasi derita rakyat dapat dilihat apabila rata-rata peniaga mengadu jualan mereka berkurang kerana rakyat terpaksa ikat perut.

Yang lebih menarik, apabila Menteri yang sama, kurang dua minggu sebelum ini turut dilihat cuba menyekat kebebasan media. Menteri Komunikasi dan Digital ini dilihat telah menggunakan kuasanya untuk mengatur pertemuan dengan pihak Berita Harian apabila saluran berita itu telah mengeluarkan satu kenyataan yang dilihat ‘tidak popular’ dalam kalangan penyokong kerajaan. Menteri seolah-olah tidak boleh menerima kebebasan media untuk melaporkan berita yang sahih.

Setelah menerima kecaman yang begitu teruk dari masyarakat, Menteri ini juga nampaknya cuba untuk membuat ‘control damage’ dengan mengadakan majlis mewah bersama pengamal media semata-mata untuk memastikan propaganda kerajaan diketengahkan. Lupakah Fahmi Fadzil arahan Perdana Menteri ke-10 (PMX) untuk semua agensi dan kementerian menghentikan penganjuran majlis secara besar besaran?

Seseorang yang berstatus Menteri tidak sepatutnya bermuka-muka sebaliknya berpegang dengan prinsip kerajaan untuk menjunjung kebebasan media. PAS Selayang berharap agar Menteri Komunikasi dan Digital ini dapat memberikan sepenuh fokus dalam membangunkan pengisian televisyen yang lebih baik dan berkualiti serta memastikan konten media lebih selamat untuk kanak-kanak berbanding bermain politik di Twitter. Menteri, profesionallah dalam menjalankan tugas.

ZAIDY ABDUL TALIB
YDP PAS Kawasan Selayang – HARAKAHDAILY 13/4/2023

- Advertisement -
- Advertisement -