
MARSEILLE, Perancis: Dua mayat ditemui dan lapan orang masih hilang selepas bangunan yang didiami meletup dan runtuh pada awal Ahad (9 Apr) berhampiran pelabuhan Marseille, menyebabkan timbunan serpihan terbakar menghalang operasi menyelamat.
Jabatan Bomba Marseille dalam kenyataannya mengesahkan bahawa pasukan penyelamat telah menemui dua mayat dalam runtuhan bangunan di bandar pelabuhan Marseille di selatan Perancis itu, lapor CNN.
Terdahulu, BFMTV melaporkan bahawa pihak berkuasa Perancis berkata lapan orang hilang, dan mungkin terperangkap di bawah timbunan bangunan berkenaan, tetapi tidak jelas sama ada angka itu termasuk dua mayat yang ditemui.
Datuk Bandar Marseille Benoît Payan berkata, salam kejadian itu, letupan kuat telah menggegarkan bangunan tersebut pada kira-kira jam 12.30 pagi waktu tempatan,yang mendorong usaha mencari dan menyelamat membabitkan 100 ahli bomba ketika pihak berkuasa menyiasat punca letupan.
“Pihak Berkuasa Perumahan Perancis berkata 179 orang telah dipindahkan dari lokasi kejadian itu,” ujar penyelamat kepada BFMTV.
Menteri Dalam Negeri Perancis, Gerald Darmanin semasa lawatan ke tempat kejadian pula berkata, usaha menyelamat dirumitkan oleh kebakaran yang marak di dalam runtuhan bangunan terbabit.
“Anggota penyelamat juga prihatin terhadap air memadam kebakaran yang membahayakan nyawa mana-mana mangsa yang terselamat,” katanya.

Sementara, penduduk tempatan memberitahu bahawa mereka telah mendengar bunyi letupan, yang diikuti banyak habuk dan bau gas di udara.
“Ia benar-benar menakut. Saya melihat bangunan itu runtuh dan orang panik di jalanan dan kemudian saya mula berlari seperti orang gila,” kata seorang saksi yang tidak dinamakan kepada BFM.
Pendakwa Marseille Dominique Laurens dalam sidang akhbar pada Ahad (9 Apr) pula berkata bahawa pada peringkat ini adalah mustahil untuk menentukan punca letupan kerana ‘keadaan masih belum stabil’.
“Letupan gas adalah satu petunjuk yang sedang diperiksa tetapi ia adalah ‘sesuatu yang kami tidak dapat sahkan pada peringkat penyiasatan ini’,” katanya.
Presiden Perancis Emmanuel Macron dalam kenyataan pula berkata, berkata: “Takziah buat mereka yang terjejas. Siasatan diteruskan dengan sumber yang besar digunakan. Terima kasih kepada anggota bomba dan penyelamat yang digerakkan.
Sementara BFMTV melaporkan bahawa dana sebanyak 100,000 euro (RM484,990) telah disediakan untuk membantu mangsa kejadian yang menurut Metropolis Aix-Marseille-Provence, wang itu adalah daripada pihak berkuasa wilayah, lapor BFMTV.
Marseille pernah mengalami kejadian sebegitu sebelum ini pada 2018, CNN melaporkan mengenai keruntuhan beberapa bangunan di daerah Noailles di bandar itu, yang mengorbankan sekurang-kurangnya empat nyawa. – HARAKAHDAILY 10/4/2023




















