
SHAH ALAM: Biarpun terpaksa berpindah lokasi namun majlis berbuka puasa bersama Menteri Besar Kedah Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor tetap mendapat sambutan menggalakkan sehingga melimpah ke luar dewan.
Program terbabit diadakan di Dewan Ideal Convention Centre (IDCC) Shah Alam itu bermula jam 6 petang, semalam.
Baru-baru ini Sanusi mendakwa sewaan dewan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) dibatalkan pengurusan dewan terbabit.
Menurut Setiausaha Politik Menteri Besar Kedah, Mohd Hilmi Abd Wahab majlis berbuka puasa ‘MB Kedah bersama anak Kedah di perantauan’ yang dijadualkan diadakan pada 9 April.
Namun katanya alasan pembatalan kerana gambar Menteri Besar Kedah ada dalam poster majlis dan dijadualkan hadir majlis tersebut.
Polemik tersebut mengundang lebih 5,000 peserta hadir dan sebahagian besarnya mahasiswa Institusi Pengajian Tinggi (IPT) anak Kedah yang belajar di sekitar Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan.
Kebanyakannya mereka begitu teruja dapat berjumpa pemimpin kerajaan Kedah pada program tersebut.
Mohd Luqman Ahmad Zamri berasal dari Pendang berharap kerajaan negeri yang ada sekarang terus mendapat mandat rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.
“Menteri Besar bukan sahaja pandai menarik perhatian rakyat dengan karektor dan ketrampilan malah mempunyai wawasan yang jelas boleh dianggap sebagai ‘The Greatest Kedah’.
“Dahulu Kedah agak kebelakang tapi sekarang di bawah PERIKATAN NASIONAL (PN) kemajuannya semakin meningkat,” katanya ketika ditemui pada program tersebut malam tadi.
Mohd Aiman Azmi, 23 yang berasal dari Merbok memberi keyakinan anak-anak muda akan terus menyokong PN pada PRN.
Katanya juga Menteri Besar sekarang seorang yang ‘sempoi’ dan mudah didekati semua golongan rakyat.
“Kerajaan sekarang juga komited menyelesaikan masalah rakyat seperti isu bekalan air di Kedah berbanding kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini,” katanya.
Mazrina Mohd Fauzi berasal dari Sungai Petani kini belajar di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berharap program seperti itu dapat diadakan setiap tahun.
Kata beliau menghadiri program tersebut membolehkan berkenalan dan mengeratkan siratulrahim dengan anak-anak muda berasal dari Kedah.
“Walaupun saya kenal MB Kedah tapi hari ini dapat lihatnya dari dekat,” ujar beliau.
Bagi anak muda berasal dari Pendang, Hafiz Jailani Kamarudin, Kedah di bawah kepimpinan Sanusi berjaya membawa pelabur bagi meningkatkan kemajuan Kedah. – HARAKAHDAILY 10/4/2023











