
‘Tsunami’ Pilihan Raya Negeri (PRN) yang ke-15 (PRN15) yang bakal melanda Malaysia tidak lama lagi bakal menjadi medan buat rakyat, khususnya orang Melayu-Islam untuk membuat pilihan terbaik parti manakah yang mampu memimpin mereka pada hadapan.
Justeru, dalam PRN15 kelak, terutama buat orang Melayu-Islam yang anti-rasuah dan anti-DAP, parti manakah akan menjadi pilihan terbaik mereka, kalau bukan PERIKATAN NASIONAL (PN).
Kenapa PN adalah pilihan terbaik pengundi dalam PRN15 kelak? Bukan mendabik dada sebelum masuk ke gelanggang pertarungan PRN15, tetapi rakyat khususnya pengundi PRN15 kelak diseru agar bijak membuat analisis dan pertimbangan.
Disinilah sangat penting untuk rakyat, khususnya yang bakal mengundi pada PRN15 kelak, melihat kembali akan sejarah yang sudah tercatat dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 (PRU15).
Sudah tentulah ia boleh dirujuk kepada pengalaman mereka dalam membuat keputusan parti mana yang ingin diundi oleh pengundi Melayu dalam PRU15 tersebut.
Isu rasuah dan dominasi Melayu
Sebenarnya terdapat dua faktor utama yang memainkan peranan penting. Pertama ialah isu rasuah dan integriti; dan yang kedua, sudah pasti dominasi orang Melayu dalam kerajaan dan kerjasama dengan DAP.
Maka, pengundi-pengundi Melayu pada masa itu sebenarnya terbahagi kepada tiga kumpulan besar.
Kumpulan yang pertama ialah golongan yang mahu melihat orang Melayu kekal dominan dalam kerajaan, menolak DAP, tetapi toleran dengan isu rasuah. Golongan ini merupakan mereka mengundi Barisan Nasional (BN).
Kumpulan yang kedua ialah mereka yang anti-rasuah tetapi tidak kisah tentang dominasi orang Melayu dalam kerajaan dan kerjasama dengan DAP. Mereka ini ialah majoriti rakyat yang mengundi PH.
Kumpulan yang ketiga ialah orang-orang Melayu yang anti-rasuah, tetapi dalam masa yang sama mereka tetap mahu dominasi Melayu dalam kerajaan dan menolak kerjasama dengan DAP. Golongan inilah mereka yang mengundi PN!
Sebelum tarikh PRU15 menjelma, parti yang teruk diserang dalam isu rasuah ialah BN, terutamanya oleh PH sendiri sehingga pemimpin BN dilabelkan sebagai ‘penyamun’.
Walaupun hakikatnya PH juga terpalit dengan isu rasuah semasa pentadbiran mereka di peringkat negeri, tetapi BN dilihat lebih ‘super’ kritikal dalam isu ini.
Menggunakan strategi ‘seketul batu untuk bunuh dua ekor burung’, PH menggunakan kempen bahawa jika rakyat mengundi PN bererti mereka akan mengundi BN. Begitu juga BN, menggunakan kempen mengundi PN bererti mengundi PH.
Sedikit sebanyak pengundi ‘termakan’ juga dengan kempen ‘mengundi PN bererti mengundi BN’ oleh PH memandangkan PN dengan BN sememangnya sebelum itu baru sahaja berkolabrasi membentuk kerajaan pada tahun 2020.
Dakyah kempen PRU15 BN, PH
Jadi, orang Melayu yang mahukan dominasi Melayu dalam kerajaan kekal tetapi dalam masa sama mereka adalah ganti-rasuah yang sepatutnya mengundi PN, tetapi dek termakan dakyah tersebut akhirnya golongan tersebut telah mengundi PH, kerana sangat anti BN dan rasuah.
Sementara kempen BN bahawa ‘mengundi PN bererti mengundi PH’ juga masuk akal pada masa itu memandangkan PAS dan Bersatu juga pernah ‘satu kapal’ dengan PKR dan DAP.
Maka, golongan yang mahu Melayu dominan dan anti-DAP tetapi dalam masa yang sama tidak toleran dengan rasuah yang sepatutnya mengundi PN, akhirnya telah mengundi BN kerana termakan dengan kempen BN tadi disebabkan sentimen anti-DAP.
Namun pada masa itu, jika PN melabelkan bahawa mengundi PH bererti mengundi BN atau mengundi BN bererti mengundi PH memang nampak seperti tidak masuk akal.
Pada masa itu, ia adalah seolah-olah tidak mungkin BN yang marak dengan isu rasuah diterima PH; dan tidak mungkin PH yang ada DAP diterima BN.
Namun, senario sudah berubah dek ‘plot-twist’ selepas keputusan PRU15, yang biarpun aneh tetapi realiti yang terjadi adalah apabila kedua-dua PH dan BN yang sebelum ini saling bertentangan sebaliknya bergabung membentuk kerajaan.
Era selepas PH-BN memerintah
Namun, berdasarkan era selepas PH-BN dalam mengemudikan bahtera negara ketika ini, apakah agaknya keputusan rakyat dalam mengundi pada PRN15 di enam negeri terdiri daripada Kelantan, Terengganu, Kedah, Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.
Menariknya tiga negeri iaitu Kelantan, Selangor dan Kedah berdasarkan keputusan PRU15 lepas adalah kubu kuat PN; Selangor pula dilihat sebagai kubu kuat PH, manakala Negeri Sembilan kubu kuat BN, dan Pulang Pinang sinonim sebagai kubu kuat DAP.
Nampaknya seperti nisbah 3 negeri lawan 3 negeri, justeru yang manakah lebih padu dan yang manakah lebih rapuh dalam PRN15 kelak, PN atau PH-BN?
Berbanding pada PRU15, dalam PRN15 kelak, nampaknya PH tidak boleh lagi memalitkan PN dengan BN seperti yang mereka lakukan sebelum ini pada PRU15 dahulu.
BN juga tidak boleh memainkan sentimen memalitkan PN dengan PH bagi mengurangkan undi terhadap PN.
Di sinilah golongan yang anti-DAP tetapi toleran rasuah yang selama ini menyokong BN sebahagian besarnya akan beralih kepada PN kerana mereka tidak boleh terima BN bergabung dengan DAP.
Sementara golongan yang anti-rasuah tetapi toleran dengan dominasi orang Melayu yang selama ini menyokong PH juga akan beralih kepada PN. Ini kerana mereka tidak boleh menerima apabila PH bergabung dengan BN yang korup.
‘Pendakwaan bersiri’ PH-BN terhadap pemimpin PN
Kerana itu sangat penting dalam tempoh PH-BN berkuasa ini mereka berusaha keras melakukan ‘pendakwaan bersiri’ terpilih terhadap pemimpin-pemimpin PN bagi mengaburkan imej ‘penyamun’ yang jelas terpapar pada wajah mereka
Jadi, dengan tindakan kotor mereka itu, harapan PH-BN adalah ia dapatlah mengurangkan imej bersih PN.
Namun rakyat yang cerdik tidak akan ‘termakan’ dengan taktik kotor PH-BN kali ini.
Kempen dengan memalitkan PN dengan PH dan BN dahulu adalah taktik jahat paling kotor mereka.
PH memalitkan titik lemah BN pada PN, sementara BN memalitkan titik lemah PH pada PN supaya pengundi lari dari PN.
Hakikatnya, pemimpin PH dan BN dari awal lagi sudah tahu bahawa mereka akan bergabung bersama-sama.
Mereka telah mendapat kerusi-kerusi yang mereka menang dengan memainkan sentimen dan menipu penyokong masing-masing.
Jadi dalam PRN15 kelak, adakah rakyat, khususnya Melayu-Islam mahu mengundi PH-BN yang sudah terbukti dengan taktik kotor mereka dalam PRU15 itu?
Ini kerana jika rakyat di enam buah negeri berkenaan mengundi PN, maka ia adalah bererti mengundi PN semata-mata yang jelas sekali adalah pilihan terbaik buat orang Melayu-Islam yang anti-rasuah dan anti-DAP. – HARAKAHDAILY 3/4/2023




















