
KERAJAAN Negeri Kelantan melahirkan rasa kesal terhadap kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) melalui Pemberitahuan Pertanyaan Dewan Rakyat pada 23 Februari 2023 yang menyatakan bahawa hak mendapatkan bayaran tunai petroleum mesti berada dalam perairan 3 batu nautika dan penyaluran adalah di atas nama wang ehsan.
Persidangan Dewan Undangan Negeri Kelantan pada 5 November 2015 telah menolak Akta Laut Wilayah 2012 (Akta 750) atas asas mendapati Kerajaan Persekutuan mengambil peluang dengan menghadkan sempadan setiap perairan negeri kepada 3 batu nautika sekali gus menafikan hak Kelantan menerima bayaran tunai petroleum.
Perjanjian Kerajaan Kelantan dan PETRONAS pada 9 Mei 1975 dalam fasal 1(1) jelas menyatakan PETRONAS hendaklah membayar wang tunai kepada Kerajaan Negeri secara bayaran tahunan sebanyak yang setara dengan jumlah 5 peratus dari nilai petroleum yang didapati dan diperolehi di Kelantan.
Minit mesyuarat Majlis Kewangan Negara yang bersidang pada 7 Jun 2018 menyatakan bahawa “..Memansuhkan program wang ehsan dan bayaran tunai petroleum akan disalurkan secara terus kepada Kerajaan Negeri Kelantan dan Terengganu tanpa mengambil kira status negeri tersebut yang dikuasai oleh pembangkang”.
Dalam masa yang sama, Kerajaan Negeri telah mengambil pelbagai langkah dan usaha dalam menuntut bayaran tunai petroleum melalui enam siri rundingan yang telah diadakan antara YAB Menteri Besar Kelantan dengan YAB Perdana Menteri bermula tahun 2013 hingga tahun 2021 dan satu pertemuan turut diadakan bersama Pengerusi dan Pengurusan Tertinggi PETRONAS pada 10 Julai 2020.
Oleh itu, Kerajaan Negeri dengan ini menggesa Kerajaan Persekutuan untuk menjelaskan tuntutan bayaran tunai petroleum secara terus kepada Kerajaan Negeri demi kepentingan rakyat.
DATO’ BENTARA KANAN,
USTAZ DATO’ HAJI AHMAD YAKOB
Menteri Besar Kelantan
Isnin,
13 Syaaban 1444 / 06 Mac 2023 – HARAKAHDAILY 6/3/2023




















