
PELABUHAN Perikanan Chendering Kuala Terengganu telah berhadapan masalah mendapan dan air cetek sejak sekian lama. Dari mula-mula masuk kerajaan Mei tahun 2018 lagi kita bincang masalah ini yang sangat menjejaskan aktiviti nelayan.
Tahun 2021, Kerajaan Negeri bersama LKIM Terengganu telah mengemukakan kertas cadangan naik taraf dan pembangunan semula Pelabuhan Chendering kepada MAFI ketika Menteri Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dan seterusnya diangkat kepada EPU Jabatan Perdana Menteri dengan anggaran keperluan peruntukan RM192 juta.
Menyedari isu ini berlarutan, pada tahun 2023 Kerajaan Negeri telah memperuntukkan RM3 juta dalam Belanjawan Terengganu 2023 bagi melaksanakan kerja-kerja mendalamkan pelabuhan walaupun kami sedia menyedari bahawa pelabuhan ini milik Persekutuan di bawah jagaan LKIM. Kerja-kerja untuk mendalamkan pelabuhan ini sedang dalam proses tender.
Semalam alhamdulillah, Menteri MAFS Datuk Seri Mohamad Sabu memaklumkan peruntukan RM192 juta yang kami mohon telah diluluskan oleh EPU untuk kerja-kerja naik taraf infrastruktur pelabuhan dan benteng pemecah ombak. Skop kerja mendalamkan pelabuhan pula diambil tanggungjawab oleh Kerajaan Negeri. Semuanya demi rakyat kita.
YB DR AZMAN IBRAHIM
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi Dan Pembangunan Luar Bandar Terengganu – HARAKAHDAILY 6/3/2023






















