
KUALA LUMPUR: Menu Rahmah yang diperkenalkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) baru-baru ini membolehkan rakyat terutama di kawasan bandar dapat menikmati hidangan pada harga murah di bawah RM5, sekali gus dapat mengurangkan perbelanjaan harian.
Penganalisis Sosio-Ekonomi, Pusat Penyelidikan Strategik, Ahmad Fauzi Mustafa menyatakan sokongan beliau terhadap program Menu Rahmah yang diperkenalkan oleh kerajaan perpaduan terhadap rakyat di Malaysia.
Beliau berkata, ini adalah usaha berterusan yang dilakukan oleh pihak kerajaan sekarang iaitu sama juga seperti yang telah dilakukan oleh kerajaan sebelum ini yang pernah memperkenalkan menu 1Malaysia.
“Pengenalan program menu rahmah ini adalah satu pilihan bagi golongan yang memerlukan. Ia sebenarnya sangat membantu rakyat Malaysia dengan tahap kos sara hidup yang meningkat pada masa kini,” ujarnya kepada HarakahDaily.
Ahmad Fauzi berkata, pujian patut diberikan kepada peniaga kedai makan yang menyahut saranan kerajaan pada masa kini dengan terlibat dalam inisiatif tersebut meskipun turut sama menanggung kos tambahan akibat kenaikan harga barang mentah.
Namun begitu, katanya, timbul juga persoalan apabila mana terdapat segelintir peniaga yang ingin mengambil bahagian dalam menyediakan Menu Rahmah tetapi akibat kekangan masalah seperti sewa premis niaga yang tinggi, harga barangan mentah di pasaran terlalu tinggi – menyebabkan hasrat mereka untuk menyediakan menu berkenaan tidak dapat dilaksanakan.
“Selain kos bahan mentah yang perlu diberi perhatian oleh pihak kementerian, pihak berwajib dicadangkan agar dapat menyediakan satu kupon atau kad khas yang membolehkan golongan peniaga mendapat harga patut dan lebih murah daripada pemborong bahan mentah.
“Oleh itu, pihak kerajaan perpaduan seharusnya mengambil tindakan untuk menyelesaikan perkara-perkara seperti di atas dengan sewajarnya,” tegasnya.
Beliau turut memberitahu bahawa kempen program menu rahmah ini juga perlu diperluaskan segera terutama di Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta (IPTA/ IPTS), kilang-kilang serta memberi peluang kepada para peniaga yang berminat.
“Walaupun Menu Rahmah diberikan jaminan kualiti makanan, namun diharapkan menu yang ditawarkan itu dipelbagaikan dan bukan semata-mata bergantung kepada nasi, ayam atau ikan, sayur dan sebotol air mineral,” katanya lagi.
Justeru, Ahmad Fauzi berkata adalah wajar juga program Menu Rahmah turut serta dilaksanakan oleh pemain industri food and beverage (F&B) seperti KFC, Pizza Hut, McDonald’s dan lain-lain lagi sebagai pilihan yang lebih banyak kepada rakyat di Malaysia.
“Rakyat sebenarnya mengharapkan kempen sebegini sentiasa berpanjangan demi kelangsungan kehidupan masing-masing,” ujarnya.
Oleh itu, beliau menegaskan bahawa kerjasama secara meluas perlu dilaksanakan antara pihak kementerian dan pemain-pemain industri.
“Diharapkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dapat berbincang dengan operator pasar borong, pasar awam, peniaga pasar pagi dan pasar malam serta pasar raya besar dalam penyediaan bahan mentah di pasaran,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/2/2023




















