
POLITIK dengan memarakkan sikap bertembung dan permusuhan telah menjadi karakter atau pendekatan bagi kebanyakan politikus. Dari situlah terjadinya ketidakharmonian, penindasan dan kepincangan serta penyelewengan lain.
Kuasa dan pemerintahan menjadikan mereka lebih banyak melepaskan keangkuhan dan kejahatan. Kecenderungan menjatuhkan lawan politik pula sering kali menyebabkan golongan tidak bersalah terutamanya rakyat menjadi mangsa.
Mudah dan manis sekali bermadah dan berpidato dengan segala teori, iltizam dan janji yang memukau dan mempesona ketika tiada kuasa. Sebalik dicapai, semua itu rupanya sekadar fatamorgana yang penuh gimik, retorik dan hipokrit.
Begitulah dapat telusuri dari pembawaan Dato’ Seri Anwar Ibrahim dari zaman perjuangan beliau semasa mahasiswa dan ABIM dahulu, selepas menyertai Umno dan kerajaan, terbuang menjadi pembangkang, dan kini di persada jawatan.
Jika kelaku beliau itu selaku Ketua Pembangkang atau Pengerusi PKR semata-mata, biarlah sebebas manapun mahu diliarkannya. Tetapi perangai jelik dilakukan kini adalah ketika beliau sudah menjadi Perdana Menteri.
Bila selaku Perdana Menteri, beliau ada tanggungjawab dan kepimpinan atas seluruh rakyat dan negara termasuk ke atas negeri-negeri, wilayah-wilayah termasuk yang tidak sealiran parti atau bukan dalam koalisinya.
Malang sekali, Anwar melaksanakan tadbir urus melalui Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) iaitu entiti digunakan rejim Umno-BN dalam politikingnya ke atas negeri pembangkang dan telah menerima kecaman rakyat sejak dahulu.
Bermakna laungan ‘Reformasi’ dan pelbagai perubahan pemerintahan pernah beliau perjuangkan, akhirnya menjelaskan ia cuma sandiwara dan pembohongan, sebagaimana banyak perkara lain pernah ditipu Anwar.
Hari ini Kerajaan PH-BN diketuai beliau bukan sahaja telah menggantikan Umno-BN yang diusahakan jatuh dari takhta 60 tahun, bahkan kerajaan baharu ini juga menggantikan juga perangai buruk Kerajaan Umno-BN di masa lalu.
Permainan politik terus dapat dilihat apabila kalangan penyokong PH mempolemikkan kehadiran Anwar ke Terengganu tidak disambut oleh Menteri Besar dan Exco Terengganu di mana politiking begini tentunya dimahukan Anwar sendiri.
Di Kedah, perasmian Hospital Pendang juga mengalami situasi seumpama apabila Menteri Besar, Exco dan Ahli Parlimen Pendang sendiri tidak dijemput dalam perasmian. Sedangkan kalian masuk ke ‘rumah orang’.
Ketika sama Anwar mengumumkan beliau mahu menghentikan polemik permusuhan dengan Tun Dr Mahathir Mohamad. Mengisytihar dengan individu atau pihak yang tidak memiliki kuasa atau punca kuasa ketika ini sememangnya tidak perlu pun.
Ia tidak lebih hanya wayang politik Anwar, sedangkan utamanya adalah beliau mengurangkan sebarang perselisihan atau perbezaan dengan pentadbiran atau kerajaan lain yang berkuasa dan memiliki punca kuasa.
Tetapi Anwar tetap mengisyaratkan persengketaan dan kesediaan untuk bersilat sedemikian bererti beliau perlu bersedia menanggung manfaat mahupun akibat daripada pilihan dibuatnya sendiri itu.
Rakyat akan terus menilai hakikat kerana Anwar harus sedar bahawa pembawaan-pembawaan sedang diadakan kini mungkin sebenarnya tidak lebih daripada ‘syok sendiri’ tanpa ada apa-apa reputasi.
Menteri-menteri di bawah pentadbirannya dilihat masih teraba-raba menangani atau menyelesaikan pelbagai isu rakyat yang dahulunya mereka berdegar-degar mengkritik dan mengangkat formula kononnya.
Kini banyak pula alasan diberi, selain Anwar sendiri pula sekadar banyak menjenamakan atau menukar istilah-istilah yang nampak Islamik dan merakyat. Tetapi hanya mengulangi pelaksanaan telah diadakan sejak beberapa tahun dahulu.
Dari ucapan-ucapan Anwar, nampaknya beliau lebih sibuk dan ghairah mencari-cari salah kerajaan atau pentadbiran terdahulu, termasuk sinis dan mengkritik penjawat awam.
Sedangkan tahun 2023 ini telah lama diperingatkan pakar-pakar dunia terhadap cabaran dalam aspek ekonomi dan iklim serta politik global. Namun, pentadbiran Anwar dilihat tidak mempunyai apa-apa akan dilakukan.
Sebab itu dalam realiti politik ketika ini, Anwar tidak wajar meninggikan egonya mengkesampingkan pembangkang iaitu PAS-PN yang mempunyai kekuatan tidak kecil, bahkan merupakan kerajaan di beberapa negeri.
PAS yang beliau kenali sekian lama telah membuktikan dalam pembawaan politik parti Islam ini kepada pendekatan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) selain bertindak konstruktif selaku pembangkang.
PAS membuktikan di negeri ditadbir, ia tidak bermain politik tetapi menunaikan mandat rakyat sebagai amanah kepimpinan serta berjaya mewujudkan kestabilan politik yang harmoni, aman dan sejahtera.
PAS bahkan telah sedia dimaklumi, telah menerajui usaha politik perdamaian, menyatukan umat Islam dan rakyat majmuk serta mendukung tadbir urus kerajaan yang pro-rakyat ketika di bawah pentadbiran PERIKATAN NASIONAL (PN).
Oleh demikian, Anwar tidak dapat menghormati atau bermesra dengan pendekatan telah dilakukan PAS, jangan pula kuasa di peringkat Persekutuan digunakan untuk memporak-perandakan politik negara.
NAZMAN CHE IBERAHIM
Darulnaim Research Centre – HARAKAHDAILY 18/1/2023




















