BN sudah tiada harapan, jadi berkorbanlah

- Advertisement -

TINGGAL kira-kira empat hari sebelum hari mengundi sepenuhnya, yang akan berlaku pada 19 November 2022. Selepas itu akan terbentuklah sebuah kerajaan baharu yang akan mentadbir negara Malaysia.

- Advertisement -

Mutakhir ini, saya meneliti banyak laporan kaji selidik berhubung kecenderungan pengundi dalam memilih pada PRU15 ini. Terlalu banyak kajian, daripada kaji selidik profesional hinggalah kajian merapu. Sehingga berbinau biji mata mengikutinya saban hari. Apa pun dalam kesempatan ini, saya berminat untuk mengulas berhubung senario Kedah sahaja.

Umumnya di Kedah, penemuan oleh semua kajian hampir serupa. Sama ada kajian sebelum pembubaran Parlimen, mahupun selepas penamaan calon. Antaranya:

1. Tidak ada satu pun kerusi Parlimen berstatus putih atau cerah untuk menang di Kedah bagi BN.

2. Hanya terdapat 2 kerusi putih bagi PH dan kerusi tersebut adalah incumbent.

3. Terdapat 5 kerusi putih atau mudah dimenangi oleh PN, dan kesemuanya milik calon PAS.

4. Selain dari 7 kerusi tersebut, terdapat pelbagai bacaan yang dipisahkan secara marginal. Sebahagian besarnya masih memihak kepada PN.

Sejak beberapa kali PRU pun, hasil kajian yang akhirnya bertepatan dengan keputusan adalah bagi kerusi berstatus putih. Selain dari putih, banyak yang betul dari salah. Tidaklah menyimpang jauh.

Modus operandi bagi kajian terhadap pola sikap pengundi adalah berteraskan kaedah taburan normal mengikut ilmu statistik. Namun ‘bacaan’ yang tidak boleh dikesampingkan selain dari kajian statistik adalah, reaksi khalayak terhadap isu, parti atau calon. Reaksi atau bahasa badan manusia ini sukar disembunyikan.

Di Kedah, gelombang menyokong PN sangat terserlah. Sokongan dari kalangan anak muda, kakitangan kerajaan, netizens semuanya jelas kelihatan. Jentera pilihan raya yang berdepan dengan bakal pengundi saban hari dapat merasakan reaksi umum tersebut. Dibuktikan pula dengan program keramaian anjuran PN yang jarang menghampakan.

Ada beberapa kajian yang merumuskan wujud gelombang baharu PN di Perlis dan Pahang. BN pasti akan segera menafikan kerana keduanya adalah kubu terakhir BN pada PRU14 lalu. Manakala bacaan di Pulau Pinang, Perak (kecuali bahagian Utara), Selangor dan Negeri Sembilan; bagi saya ia agak menggusarkan PN dan BN.

Kembali di Kedah, sudah sampai masanya ahli-ahli dan penyokong mereka belajar mengenal realiti dan berkorban untuk memastikan usaha PH kembali ke Putrajaya berjaya disekat. BN sudah tiada peluang di Kedah. Ahli-ahli dan penyokong Umno kena lupakan saja BN, berjiwa besarnya untuk menyelamatkan kuasa Melayu Islam bagi memastikan semua kerusi PN menang di Kedah.

Alhamdulillah setakat ini, usaha penyedaran itu bersahut. Sebahagian ahli-ahli Umno sudah pernah bersama dengan PAS dalam Muafakat Nasional. Inilah masanya untuk pastikan keserasian itu berlarutan. Korbankan BN yang sudah tiada peluang. Jangan bazirkan undi. Bantu PN Kedah menawan kesemua 15 kerusi Parlimen.

Semoga Allah mengizinkan hasrat tersebut dicapai.

ZULKIFLI YAHAYA – HARAKAHDAILY 14/11/2022

- Advertisement -