
SINGAPURA: Seorang kanak-kanak perempuan warga Singapura berusia tiga tahun meninggal dunia akibat Covid-19 di negara itu.
Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) dalam kenyataannya berkata, kanak-kanak tersebut meninggal dunia pada Selasa (13 Sept) dan merupakan pesakit bawah 12 tahun ketiga yang meninggal dunia akibat virus berkenaan di Singapura, lapor CNA.
“Pesakit mempunyai sejarah pelbagai penyakit sebelum dijangkiti Covid-19. Dia disahkan positif coronavirus melalui ujian pantas antigen pada 9 Ogos lalu, sebelum dimasukkan ke hospital pada 13 Ogos.
“Dia meninggal dunia pada Selasa, 13 Sept akibat kecederaan otak anoksik, iaitu kekurangan oksigen ke otak, akibat serangan jantung dan jangkitan Covid-19,” ujar kenyataan berkenaan.
Pada bulan Jun lalu, seorang kanak-kanak lelaki warga Singapura berusia satu setengah tahun merekodkan kematian pertama pesakit di bawah 12 tahun di Singapura akibat jangkitan Covid-19.
MOH dalam kenyataan pada Jun berkata, punca kematian kanak-kanak lelaki tersebut adalah disebabkan ensefalitis akibat jangkitan Covid-19, virus respiratory syncytial dan enterovirus, namun pesakit tidak mempunyai sejarah masalah perubatan lampau lain dan sebelum ini sihat.
Kematian kedua ialah seorang kanak-kanak perempuan warga Singapura berusia empat tahun yang meninggal dunia pada Julai, juga tidak mempunyai sejarah masalah perubatan lampau dan sebelum ini sihat.
Sehingga tengah hari semalam, Rabu (14 Sept) 2,426 kes jangkitan baharu Covid -19 termasuk 2,166 kes tempatan di negara itu.
Secara keseluruhan, Singapura telah merekodkan 1,867,168 kes Covid-19 dam 1,604 kematian sejak permulaan wabak itu pada tahun 2022. – HARAKAHDAILY 15/9/2022




















