
MEMBANGUNKAN sebuah perniagaan dalam keadaan diri merupakan Orang Kurang Upaya (OKU) fizikal adalah satu daya juang dan berdikari yang hebat.
Namun, itulah teladan dan semangat diserlahkan Mohd Sabrie Mohamad Brahim dari Kampung Bakam, Miri, Sarawak demi menyara kehidupan berkeluarga.
Malah, kemajuan perniagaan yang dicapai khususnya dalam 5 tahun mutakhir ini menunjukkan kesungguhan beliau dalam bidang diceburi tersebut biarpun diri dalam keadaan serba kekurangan.
Atas nama syarikat Insyirah Family Enterprise didaftarkan tahun 2020, jualan yang hanya bermula dengan rempeyek dan kuih perut ayam pada tahun 2016 berbekal modal cuma RM500 itu, kini telah berkembang mengeluarkan banyak produk lain.
Antaranya peria crispy pelbagai perisa, cornflakes bersira spicy, popia nestum dan popia serunding udang serta ikan terubuk masin di mana jualannya tidak hanya mendapat sambutan setempat, tetapi telah menembusi pasaran Semenanjung Malaysia.
Perniagaan yang diinspirasikan dari nama anaknya, Nur Amanie Insyirah dan Nur Annisa Insyirah itu kini dioperasikan bersama isteri beliau, Nurayati Gusni di premis disewa mereka di Assar Commercial Centre di Bandar Miri.
Memberikan cita-cita tinggi kepada perniagaan ini, beliau dan isteri menetapkan untuk Insyirah Family Enterprise menjadi pengeluar makanan kudapan ringan serta bahan mentah yang mampu memberi dan mengeluarkan hasil berkualiti dan bermutu tinggi.
Selain itu, mereka juga beriltizam menjadi pengeluar dan pemasar produk makanan kudapan ringan serta bahan mentah yang menepati cita rasa pelbagai peringkat umur.
Malah, hala tuju lebih jauh ditetapkan apabila mahu memperluaskan perniagaan mereka hingga terkenal di Malaysia dan menubuhkan cawangan lebih luas bagi pasaran tempatan dan antarabangsa.
Mengimbau kembali detik tragedi ke atas dirinya, Sabrie bercerita, ia berlaku pada Februari 2015 ketika mula menjalankan perniagaan sendiri dalam bidang pendawaian di mana diberi projek untuk empat bangunan.
Dengan pinjaman bank berjaya dibuat, beliau membeli sebuah kereta ‘second-hand‘ dan dengan kegembiraan dikecapi itu, Sabrie berhasrat pulang ke kampung berkongsi perkhabaran tersebut dengan ibunya.
Tanpa mendapat pendidikan tinggi dan datang pula dari keluarga susah, peluang kerjaya tersebut sesuatu yang amat besar bagi dirinya untuk dirai bersama isteri dan anak kecil berusia 9 bulan ketika itu serta ibunya.
Malangnya, tanggal 27 Februari 2015 itu, dalam perjalanan pulang sekitar jam 8 malam, Sabrie dilanggar sebuah lori 3 tan hingga menyebabkan kaki kirinya hancur dan keretanya rosak teruk (total loss) walaupun belum sempat membayar pinjaman bulan pertama.
Detik menyayatkan itu terjadi ketika beliau yang berkejar mahu pulang cepat membawa Insyirah ke klinik kerana demam panas, berhenti memberi simpati dan baktinya kepada seorang lelaki tua yang tayar keretanya mengalami kebocoran.
Bahkan, Sabrie sendiri bukan sahaja membantu menukarkan tayar, malah sanggup pula memberikan tayar gantian keretanya kepada pakcik tersebut ketika itu, namun dalam sekelip mata beliau sudah tidak mengingati apa-apa.
Pelanggaran kuat juga mengenai di bahagian kepalanya itu menyebabkan Sabrie mengalami Amnesia setelah kritikal kehilangan banyak darah dan terpaksa melalui pembedahan selama 12 jam dan terbaring untuk tempoh begitu lama.
Segala keadaan diri beliau diuruskan isteri yang menumpahkan pengorbanan besar untuk dirinya serta keluarga baharu dibina mereka itu dengan keadaan anak masih kecil belum mengerti dan tidak mencapai usia setahun lagi.
“Masa ni sakit tu terasa sangat. Gangguan emosi tu memang ada. Isteri kena tolak saya guna kerusi roda, kalau nak bawa saya tengok suasana luar agar tidak merasa ‘terkurung’ atau ke hospital untuk ‘check up’.
“Dia kena tolak saya guna kerusi roda, anak pula saya kena pegang pergi ke hospital naik kereta tambang sebab tak ada bas.
“Masa dah tak da kereta tu, yang paling buat kami menitis air mata, anak saya ni asal dia dengar je bunyi kereta, cepat-cepat dia bergerak seperti itik tengok di luar rumah, ingat orang nak bawa dia jalan-jalan, tapi tak ada.
“Sebab sebelum kemalangan, dia selalu ikut saya hantar pekerja ke tempat bangunan atau rumah yang kena buat ‘wiring’,” kongsi beliau.
Katanya, selama beberapa tahun itu isteri beliau membawanya ke hospital dengan kerusi roda di mana Sabrie turut melalui beberapa pembedahan susulan antaranya memotong tulang kaki kiri di mana hanya ‘tinggal sedikit’ akibat jangkitan.
Pun begitu, dalam keadaan merasa hidupnya ‘gelap’, namun dengan anak-anak di depan mata, digagahnya juga memulakan perniagaan kecil dari sedikit kebolehan memasak dimiliki isteri dan hasil doa serta dorongan sahabat-sahabat.
Ujian Sabrie tidak terhenti di situ, beliau juga sebenarnya gigih merawat anaknya Annisa yang perlu menjalani siri-siri rawatan atas tumor dihidapi, manakala ayahnya pula disahkan mengidap kanser sejak tahun lalu.
Orang ramai yang berminat mendapatkan produk-produk keluaran syarikat Insyirah Family Enterprise boleh membuat pesanan kepada beliau di http://www.wasap.my/60128087457 atau menghubungi nombor tersebut.
Urusan pembayaran boleh dibuat secara dalam talian menggunakan akaun Maybank 561181109829 atas nama InsyirahFamily.
IZWAN ABDUL HALIM – HARAKAHDAILY 15/9/2022























