LGBTQ: Keputusan berani Singapura

- Advertisement -

Oleh NORHANA MAT ZIN

KUALA LUMPUR: Keputusan kerajaan Singapura akan membenarkan dan meminda undang-undang berkaitan hubungan seks sesama lelaki di negara itu merupakan sesuatu yang berani, namun ia bukan sesuatu yang menghairankan.

Peguam Syarie, Mohd Hafiz Abdul Razak berkata demikian ketika mengulas tentang pengumuman Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong bahawa negara itu akan memasuhkan undang-undang era penjajah iaitu Seksyen 377A Kanun Keseksaan Singapura.

- Advertisement -

Merujuk kepada kenyataan pada 21 Ogos lalu, Lee berkata keputusan itu dibuat berikutan golongan muda di Singapura kini semakin menerima golongan gay selaras dengan keadaan sosial semasa. 

Beliau turut mengumumkan akan memansuhkan undang-undang era penjajah sebelum ini iaitu Seksyen 377A yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun terhadap kesalahan seks sesama lelaki.

Mengulas lanjut ujar Mohd Hafiz, Singapura merupakan sebuah negara liberal yang dipimpin oleh pemerintah bukan beragama Islam. 

“Tidak hairanlah, Perdana Menteri (Lee Hsien Loong) memberikan hak kepada rakyatnya tanpa memikirkan soal syariat (Islam) kerana menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal itu tidak ada pada agenda dalam negara itu (Singapura). 

Tambahnya, kenyataan Lee juga ada menyebut bahawa Singapura kini tidak sesuai lagi menggunapakai undang-undang kolonel di zaman penjajah British itu.  

Mohd Hafiz

“Ini jelas menunjukkan bahawa Singapura cuba mengangkat agenda lesbian, gay, biseksual, transgender dan aneh (LGBTQ) kepada satu tahap yang terkini iaitu memperjuangkan hak-hak golongan berkenaan kepada kedudukan tertinggi. 

“Perkara ini selaras dengan adat sosial yang dikenali sebagai ‘human guide’ yang mana Singapura berharap ia memberi sedikit kelegaan kepada golongan gay di negara itu bagi yang bukan beragama Islam,” jelasnya.  

Sehubungan itu tegas Mohd Hafiz, senario adalah berbeza di Malaysia, yang mana negara ini dipimpin oleh pemimpin beragama Islam dan Islam pula merupakan agama rasmi. 

Tambah beliau, di Malaysia tiada peruntukan perundangan spesifik terhadap pergerakan LGBTQ. 

“Negara kita sangat istimewa berbanding negara-negara lain kerana mempunyai dua bidang kuasa peruntukan undang-undang iaitu di bawah Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil.

“Perbuatan homoseksual dan seksual di luar tabii merupakan satu kesalahan berdasarkan undang-undang di Malaysia,” ujarnya kepada HarakahDaily.

Selain itu, katanya, merujuk kepada undang-undang Jenayah Sivil, Seksyen 377B Kanun Keseksaan memperuntukkan bahawa, sebarang individu yang melakukan hubungan seks luar tabii secara sukarela akan dihukum penjara maksimum 20 tahun termasuk sebatan.

Selanjutnya, bagi kesalahan melibatkan orang Islam, Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 memperuntukkan kesalahan-kesalahan yang berkaitan perlakuan LGBT.

Antara kesalahan jenayah syariah di Wilayah Persekutuan melibatkan LGBTQ adalah perbuatan liwat, musahaqah (melakukan hubungan sejenis antara perempuan dengan perempuan; dan perbuatan orang lelaki yang memakai pakaian perempuan dan berlagak seperti perempuan di mana-mana tempat awam atas tujuan tidak bermoral). 

Namun begitu, kesalahan liwat ini telah diisytihar tidak berperlembagaan dan tidak sah di Selangor.

Masyarakat yang beragama Islam telah jelas betapa ancaman dan amaran Allah SWT amat keras terhadap mereka yang mewarisi perjuangan kaum Nabi Luth yang telah menentang perjuangan Baginda SAW.

Allah SWT menyebutkan kisah mereka ini dalam beberapa tempat dalam kitab suci al-Quran, antaranya,  Allah SWT firman-Nya dalam surat al-A’raf, ayat 80-84 yang bermaksud:

“Dan Nabi Lut juga (Kami utuskan). Ingatlah ketika ia berkata kepada kaumnya: Patutkah kamu melakukan perbuatan yang keji, yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun dari penduduk alam ini sebelum kamu? 

“Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk memuaskan nafsu syahwat kamu dengan meninggalkan perempuan, bahkan kamu ini adalah kaum yang melampaui batas”. Dan tidak ada jawab dari kaumnya selain daripada berkata: “Usirlah mereka (Nabi Lut dan pengikut-pengikutnya yang taat) dari bandar kamu ini, sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang (mendakwa) mensucikan diri.

“Maka Kami selamatkan dia dan keluarganya (serta pengikut-pengikutnya) melainkan isterinya, adalah ia dari orang-orang yang dibinasakan. Dan Kami telah menghujani mereka dengan hujan (batu yang membinasakan). Oleh itu, lihatlah, bagaimana akibat orang-orang yang melakukan kesalahan.”

Dalam pada itu, kerajaan Singapura bagaimanapun masih lagi mengekalkan atau melindungi definisi perkahwinan itu sendiri yang termaktub dalam akta tafsiran dan piagam wanita daripada dicabar oleh mana-mana perlembagaan.

Dalam pengumumannya, Lee berkata, Perlembagaan Singapura juga akan dipinda untuk melindungi takrif perkahwinan, iaitu penyatuan antara seorang lelaki dan seorang perempuan daripada dipertikai di mahkamah.

Namun terkini, golongan LGBTQ di negara itu dilaporkan masih tidak berpuas hati  dan mengambil tindakan seterusnya untuk mengubah dasar bagi membenarkan perkahwinan sesama jenis. 

Ini kerana bagi mereka, keputusan kerajaan Singapura memansuhkan Seksyen 377A Kanun Keseksaan iaitu sebuah undang-undang era kolonial yang menjenayahkan hubungan seks antara lelaki, belum mencukupi bagi golongan LGBTQ.   

Menurut Hafiz, Singapura sebenarnya masih tidak mengubah definisi undang-undang negara itu bagi perkahwinan iaitu antara lelaki dengan perempuan. 

“Justeru, ia diperketatkan bagi melindungi maksud tersebut. Undang-undang Singapura akan memastikan bahawa  lelaki tidak boleh berkahwin dengan lelaki, dan  wanita tidak boleh berkahwin dengan wanita. Hanya yang dibenarkan adalah berkaitan dengan hubungan sebelum perkahwinan atau perhubungan tidak formal,” jelasnya.   

Tambah beliau, dalam amalan perundangan di Malaysia masih terdapat ruang untuk menegakkan keadilan dan tindakan ke atas kesalahan yang melampaui batas kerana Malaysia sangat tegas dan  tidak mengiktiraf seksual luar tabie yang dijenayahkan di dalam kanun keseksaan. 

Beliau berkata, undang-undang diwujudkan adalah untuk mengatur dan mencegah manusia dalam kehidupan ini serta mendidik supaya dapat mencapai kedamaian di dalam negara. 

“Adanya kesalahan-kesalahan ini jika ia tidak dipandang sebagai satu kesalahan, pelaku jenayah tetap akan didakwa kerana ia di luar tabie manusia itu sendiri. 

“Ada juga golongan yang mengatakan bahawa perkara yang Singapura lakukan ini adalah satu keputusan yang bergerak ke hadapan (moving forward) ke arah mengharmonikan masyarakat di negara itu.

“Namun, kita akan dapat lihat dalam masa akan datang membuktikan bahawa perkara yang mereka lakukan hari ini akan menjejaskan moral atau modal insan mereka yang berkelakuan songsang, seterusnya akan memcambahkan lagi masalah sosial, keganasan dan sebagainya (terbukti apabila golongan LGBTQ di Singapura kini berjuang pula agar perkahwinan sejenis dibenarkan di negara itu). 

“Sebab itu, undang-undang yang ada di Malaysia ini harus dikekalkan agar keharmonian masyarakat sentiasa berterusan,” tegas Hafiz. – HARAKAHDAILY 24/08/2022

- Advertisement -