Alasan ‘blanket crackdown’ untuk halalkan ganja

- Advertisement -

RAMAI pemain ganja mula teruja dengan keputusan Kerajaan Thailand untuk membenarkan penggunaan ganja di dalam negara mereka. Bukan itu sahaja, Kerajaan Thailand juga menggalakkan setiap rakyat menanam ganja di dalam rumah mereka. Siap beri hadiah sepasu seorang semasa hari pelancaran leglisasi ganja.

Saya mempunyai sudut pandang yang berbeza mengenai berita yang disebarkan itu. Terdapat beberapa isu yang menjadi kesangsian kita kenapa ganja di Thailand telah dihalalkan penggunaannya. 

Sebagaimana yang diketahui bahawa manafaat ganja terbahagi kepada 3: untuk perubatan, rekreasi dan industri. Namun apa yang di’highlight’kan oleh media adalah lebih kepada alasan perubatan yang menyebabkan Kerajaan Thailand menghalalkan penggunaan ganja dalam negara mereka. 

Satu artikel yang ditulis dalam Bloomberg oleh Thomas Kutty Abraham menghuraikan dengan jelas mengapa Thailand menghalalkan ganja. Dengan sosio-religo-politik di Thailand itu menjadikan mereka terdesak untuk menghalalkan ganja. Mereka juga mempunyai kemelut dalam isu lain seperti isu gender ke-3, isu penagihan alkohol dan beberapa isu lain lagi.

Untuk mengubah sesuatu akta, 4 faktor utama mempengaruhi; (1) ahli politik; (2) ahli agama; (3) ahli perubatan dan (4) rakyat, jika majoritinya menolak untuk menghalalkan ganja, sukar akta akan berubah. Di atas sebab-sebab yang kita ketahui bersama bahawa ganja secara umumnya itu boleh menyebabkan mudarat di dalam masyarakat. Bahkan jika penghalalan ganja ini diteruskan boleh membuka banyak lagi pintu-pintu fitnah yang berkait dengan penyalahgunaan dan isu akhlak dalam masyarakat.

Andai sekiranya salah satu daripada empat tonggak ini luntur atau berusaha untuk menghalalkan ganja maka ianya akan bermula saat keruntuhan di dalam masyarakat.

Proses penghalalan ganja di Thailand bermula sejak tahun 2018 yang dikemukakan oleh ahli politik dan dikatakan mendapat dukungan dari pemain-pemain ganja peringkat dalaman dan antarabangsa. 

Walaupun mereka beralasan ganja yang diluluskan itu jenis hemp yang berasaskan Cannabidiol (CBD), tetapi tidak menafikan penggunaan ganja berbentuk THC untuk rekreasi (khayal dan bersuka ria) akan disalahgunakan nanti. Inilah alasan putar alam (blanket crackdown) yang diamalkan oleh pemain ganja seluruh dunia.

Adakah dengan alasan perubatan itu menjadikan hujah yang kukuh untuk mereka menghalalkan ganja?

Setakat ini semua badan-badan berautoriti perubatan dunia telah menyimpulkan ganja hanya berguna dalam tiga keadaan sahaja:

i) Rawatan tambahan bagi mengawal sejenis sakit saraf yang dinamakan ‘Chronic Neuropathic Pain’. Doktor yang berdaftar sahaja dibenarkan menggunakan ganja jenis ini terhadap pesakit mereka. Tidak boleh dengan begitu mudah pesakit membelinya di farmasi ataupun klinik swasta ataupun mengarahkan doktor tertentu untuk memberikan kepada mereka.

ii) Untuk melegakan muntah-muntah yang disebabkan oleh rawatan kemoterapi pesakit kanser. Ianya juga rawatan tambahan setelah penggunaan ubatan anti muntah yang sedia ada sudah tidak berkesan. Ganja bukan rawatan kanser sepertimana yang didakwa.

iii) Untuk mengurangkan spastik atau ketegangan otot yang disebabkan oleh penyakit ‘Multiple Sclerosis’ (MS), sawan yang teruk akibat penyakit Dravet syndrome dan Lennox-Gastaut syndrome. Dalam keadaan ini pun, rawatan utama bukanlah ganja.

Pihak berkuasa Makanan dan Dadah (FDA) juga meluluskan penggunaan ganja perubatan (Cecair CBD) berjenama Epidiolex® untuk rawatan penyakit sawan teruk kanak-kanak (Dravet syndrome dan Lennox-Gastaut syndrome). 

Manakala di United Kingdom, Kanada, dan beberapa negara Eropah meluluskan ubat berasaskan minyak CBD bernama nabiximols (Sativex®). Kita menegaskan bahawa negara ini tidak perlu menanam ganja atas alasan ingin menjalankan kajian. 

Keputusan yang telah dibuat oleh badan berkuasa dunia (FDA) dari WHO itu sudah memadai. Perlu diingat bahawa kebenaran meluluskan ganja bagi kegunaan perubatan berbeza kebenaran halalkan bagi tujuan menjalani kajian perubatan. 

Persoalannya takkanlah setiap rumah rakyat di negeri Thailand itu ada berpenyakit saraf dan sawan yang begitu jarang ditemui dalam bidang perubatan itu? 

Agaknya sudah tentu bukan alasan perubatan yang ingin di perjuangkan oleh mereka. Kemungkinan ingin ambil ganja untuk berseronok? Jalan pintasnya adalah meluluskan ganja atas alasan perubatan. 

Jika mereka mempunyai pelan khusus seperti industri kain, makanan dan seumpamanya, kenapa tidak dinyatakan sedemikian semasa dalam proses untuk menghalalkan ganja? Alasan perubatan juga dijadikan sandaran.

Persatuan profesional perubatan mereka pun memberi amaran mengenai bahaya penggunaan cannabis ini. Terbaharu, lebih dari 850 doktor dan petugas kesihatan membuat bantahan atas keputusan Kerajaan Thailand menghalalkan ganja. 

Antara sebabnya adalah kebanyakan kes penyalahgunaan terjadi sehingga peringkat anak remaja terlibat. Baharu kelam-kabut untuk membuat pindaan yang baru terhadap akta.

Di Jepun pun terdapat teguran dari pakar perubatan mengenai peningkatan kes penyalahgunaan ganja ini atas alasan blanket crackdown demi perubatan. Lebih membimbangkan dengan kelompongan Akta yang telah dibuat itu menyebabkan pihak industri ganja telah membuat inovasi ganja secara sintetik yang jauh lebih bahaya dari ganja semulajadi. 

Ganja sintetik berjenama THC-0, 3 kali lebih bahaya. Ia mempunyai kesan psikotropik otak. Sudah pun terdapat kes mudarat seperti stroke, delusi (gangguan otak) dan serangan sakit jantung. Di saat ini barulah mereka menggelabah untuk membuat pindaan akta yang baharu bagi menyekat penggunaan dadah sintetik ganja ini.

Kita patut belajar dari kesilapan dan kegagalan itu. Sedikit demi sedikit terserlah di seluruh dunia yang negara mereka menghalalkan ganja.

DR SUHAZELI ABDULLAH
Pakar Perubatan Keluarga
Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) – HARAKAHDAILY 24/8/2022

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -
- Advertisement -