
Susunan YUSMAN AWANG
NEW YORK: Ketika ratusan ketua-ketua negara global bersiap sedia untuk terbang ke New York bagi menyertai Perbahasan Agung Perhimpunan Agung baharu menjelang minggu depan, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), António Guterres telah menyeru mereka untuk membawa harapan kepada dunia yang kini retak menanti belah, dan meningkatkan usaha untuk melawan krisis iklim.
Pada taklimat akhbar, di sini, pada Rabu (14 Sept) waktu tempatan, Guterres berjanji untuk menangani banyak isu mencabar yang dihadapi planet bumi ketika ini, yang akan diutarakannya melalui ucapannya pada minggu depan kepada Perhimpunan Agung, yang juga akan mengandungi cadangan konkrit untuk penyelesaian yang berkekalan, dan seruan untuk bertindak, lapor UN News.
Beliau memulakan dengan mengimbas kembali kemusnahan yang disaksikannya ketika mengunjungi Pakistan baru-baru ini – negara paling teruk di dunia terjejas angkara bencana banjir, yang disifatkannya sebagai jendela kepada ‘masa depan huru-hara iklim yang kekal dan di mana-mana pada skala yang tidak dapat dibayangkan’.
Guterres, yang berasal dari Portugal, menyatakan bahawa banjir di Pakistan telah meliputi kawasan tiga kali ganda saiz tanah airnya itu.
Dalam bahasa yang lazimnya tanpa kompromi, beliau mengecam tindak balas global terhadap krisis iklim sebagai ‘tidak mencukupi, tidak adil dan, pada dasarnya, pengkhianatan’.

“Sama ada Pakistan, Tanduk Afrika, Sahel, pulau-pulau kecil atau negara-negara kurang maju, yang paling terdedah di dunia – yang bukan punca menyebabkan berlaku krisis iklim global – terpaksa menghadapi mala petaka yang mengerikan selama berdekad-dekad akibat ketidaktegasan oleh negara-negara kuasa besar dalam menangani krisis berkenaan,” tegas beliau.
Andai G20 ditenggelami banjir
Menyasarkan pemimpin-pemimpin negara terkaya di dunia, beliau mengingatkan bahawa golongan tersebut bertanggungjawab terhadap sebahagian besar pelepasan karbon yang berkaitan krisis iklim global ketika ini dan, walaupun negara-negara kaya juga terjejas teruk oleh rekod kemarau, kebakaran dan banjir, namun yang lebih terkesan akibat krisis iklan berkenaan sudah tentu negara-negara seperti Pakistan.

Gutteres tertanya-tanya sama ada apakah reaksi berbeza akan muncul jika satu pertiga daripada negara-negara G20 yang dipenuhi banjir dan bukannya Pakistan.
“Semua negara perlu mengurangkan pelepasan karbon setiap tahun – dengan negara-negara G20, sebagai pencetus utama, – sehingga kenaikan suhu global dihadkan kepada 1.5 darjah di atas paras pra-industri,” ujarnya.
Kembali kepada contoh Pakistan, Guterres menegaskan bahawa negara itu, dan negara-negara lain di kawasan beriklam panas, memerlukan infrastruktur tahan banjir sekarang ini, dengan sekurang-kurangnya separuh daripada bajet kewangan untuk pengurusan berkaitan iklim, perlu dilaburkan ke sektor daya tahan iklim.

Pembiayaan itu, katanya, mesti datang daripada negara-negara kaya dengan tahap ekonomi yang maju dan stabil.
“Turunkan suhu (dunia) sekarang…Jangan banjiri dunia hari ini; jangan tenggelamkannya esok,” ungkap Gutteres.
Selar ahli politik populis
PBB dalam pada itu telah memuji kejayaan Inisiatif Bijian Laut Hitam, yang telah membolehkan bekalan makanan dan baja akhirnya meninggalkan pelabuhan Ukraine yang dilanda perang, dan memainkan peranan dalam mengurangkan harga makanan global, ketika ia mencapai rekod tertinggi berikutan serangan Rusia ke atas Ukraine.

“Bagaimanapun, masih terdapat risiko sebenar kebuluran berganda pada tahun ini,” ujar Guterres sambil memberi amaran bahawa kebuluran global sudah meningkat sebelum pandemik Covid-19 lagi, dan masalah itu tidak pernah pulih.
“Banyak negara sedang berhadapan dengan krisis kos sara hidup, yang paling teruk melanda rakyat dan komuniti termiskin, dan hak wanita dan kanak-kanak perempuan di seluruh dunia, menjadi terbalik,” tegas beliau.
Guterres turut menegaskan bahawa, pada masa ketegangan geopolitik yang tinggi, kekurangan tindakan untuk menghentikan krisis iklim akan mempunyai kesan pencetusan yang teruk, seperti penghijrahan besar-besaran dan peningkatan ketidakstabilan.

Justeru, beliau menyelar tindakan ahli politik populis yang katanya, menunjukkan sikap ‘tidak menghiraukan negara-negara yang paling miskin dan paling terdedah (terhadap krisis iklim) di dunia ini’, melagakan orang ramai terhadap satu sama lain, menggunakan diskriminasi, maklumat salah dan ucapan kebencian.
“Debat Umum pada tahun ini adalah wajib tentang memberikan harapan. Harapan itu hanya boleh datang melalui dialog dan perdebatan yang menjadi nadi degupan PBB,” katanya. – HARAKAHDAILY 15/9/2022




















