Usul PAS wujudkan Sains Politik di sekolah, lulus

- Advertisement -

Oleh IBNU JANIE

ALOR SETAR: Usul yang dibawa oleh PAS Kawasan Lenggong, Perak, agar Kementerian Pelajaran mewujudkan subjek Sains Politik di sekolah-sekolah di bawah kementerian telah diluluskan sebulat suara.

Perkara itu diumumkan oleh Pengerusi Tetap PAS Pusat, Cikgu Hussin Ismail selepas proses perbahasan dan undian usul dalam Muktamar Tahunan PAS kali ke-68 yang berlangsung di Kompleks PAS Kedah sebentar tadi.  

- Advertisement -

Sementara itu, wakil PAS Kawasan Lenggong, Ustaz Muhammad Shuib semasa membentangkan usul itu berkata, usul berkenaan dibawa memandangkan golongan pelajar sekolah adalah yang bakal menjadi pengundi selepas tamat sekolah pada usia 18 tahun.

Namun, menurut beliau, rata-rata pelajar sekolah masih tidak mempunyai kefahaman tentang politik yang boleh menjuruskan mereka tidak menggunakan peluang ini dengan sebaiknya.

“Apabila tiada subjek Pendidikan Politik di sekolah, maka remaja yang keluar (tamat) sekolah pada usia 18 tahun akan mengundi dalam keadaan tidak matang.

“Ini akan memberi kesan kepada ketidakadilan secara menyeluruh kerana anak-anak muda akan mengundi secara berpersepsi, bukan kerana kefahaman politik,” ujarnya.

Sehubungan itu, Ustaz Muhamad turut mencadangkan agar Sains Politik diperkenalkan sebagai mata pelajaran di institusi-institusi pendidikan di bawah PAS seperti Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI) dan Sekolah Menengah Integrasi Teras Islam (SMITI). – HARAKAHDAILY 4/9/2022

- Advertisement -