Pemimpin PAS tanam pokok sahut seruan KeTSA

- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

ALOR SETAR:
Sempena Muktamar Tahunan PAS kali ke-68, lapan batang pokok ditanam sebagai menyahut seruan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) mencapai sasaran kempen 100 juta pokok menjelang 2025.

Menurut Menteri KeTsa, Datuk Seri Taqiyuddin Hassan, pihaknya dan bersedia memberi kerjasama dan bantuan kepada mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO), parti politik mahupun agensi kerajaan digalakkan menganjurkan program berkenaan.

- Advertisement -

“Kempen penanaman 100 juta pokok itu akan dilaksanakan dalam tempoh lima tahun iaitu bermula pada 2021 sehingga 2025.

“Oleh itu mana-mana pihak yang berminat untuk menganjurkannya boleh buat permohonan kepada Jabatan Perhutanan dan bantuan sewajarnya akan diberikan,” jelas beliau ketika ditemui pada Program Penghijauan Malaysia, Kempen Penanaman 100 juta di Kota Sarang Semut, hari ini.

Apa yang penting, ujarnya, sasaran 20 juta pokok setiap tahun dapat direalisasi bagi mencapai matlamat 100 juta dalam tempoh lima tahun.

Antara pemimpin PAS Pusat yang terlibat pada program di dataran Lembaga Kemajuan Pertanian Kedah (MADA) termasuklah Musyidul Am dan timbalan, Tuan Guru Dato’ Hashim Jasin dan Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob, Presiden, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Timbalan Presiden, Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, Naib Presiden, Dato’ Nik Mohd Amar Abdullah, Ketua Dewan Ulamak, Senator Dato’ Ahmad Yahaya, Ketua Dewan Muslimat, Senator Ustazah Nuridah Mohd Salleh dan Pengerusi As-Sabiqun, Dato’ Dr Mahfodz Mohamed. – HARAKAHDAILY 4/9/2022

- Advertisement -