Skim Infaq Istiqamah sumbang RM1.8 juta setiap tahun

- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

ALOR SETAR: Skim Infaq Istiqamah PAS menyumbang hampir RM1.8 juta setahun kepada parti itu melalui sumbangan daripada 5,614 ahlinya setiap bulan.

Bendahari PAS Pusat, Dato’ Iskandar Abdul Samad berkata melalui sumbangan itu, PAS menerima sumbangan sebanyak RM14,000 sebulan.

Katanya, walaupun terdapat peningkatan sebanyak 2,000 pendaftaran sejak Muktamar PAS tahun lalu, namun jumlah terkini adalah jauh daripada sasaran PAS.

- Advertisement -

“Jika ikut teori, sejuta ahli PAS boleh menyumbang RM10 juta, tetapi ia hanyalah teaori. Walaupun kami sudah berusaha mencapai 50,000 pendaftaran tetapi malangnya jumlah yang mendaftar hanya 5,614 sahaja.

“Tidak sampai 6,000 daripada jumlah ahli PAS walaupun kita sudah berusaha memudahkan pendaftaran Infaq Istiqamah, yang kini dilakukan secara atas talian berbanding secara isian borang sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa ucapan penggulungan Muktamar PAS Tahunan Kali ke-68, di Kompleks PAS Alor Setar, di sini, hari ini.

Tambah Iskandar, beliau berharap pendaftaran untuk Skim Infaq Istiqamah selepas ini dapat meneruskan sasaran capaian sasaran sekurangnya sebanyak 50,000 sehingga 100,000 pendaftaran.

Beliau turut mengumumkan kawasan terbaik yang berjaya mendapatkan pendaftaran tertinggi Infaq Istiqamah, iaitu PAS Kapar dan PAS Indera Mahkota.

Manakala, kawasan yang berjaya memperoleh sumbangan wang ringgit tertinggi melalui Infaq IStiqamah ialah PAS Teluk Intan dan PAS Ampang.

Sementara itu, ejen Smart-i yang berjaya mengutip sumbangan melalui penjualan terbaik adalah Rozaimi Abdul Rahim dengan sumbangan kepada PAS sebanyak RM42,786 sumbangan dan Jualriah Abdul Rahman, sebanyak RM36,087. – HARAKAHDAILY 4/9/2022

- Advertisement -