Piala AFF 2022: Jadual perlawanan timbulkan persoalan

- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

Skuad Harimau Malaya berdepan jadual perlawanan yang ketat dalam kejohanan Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 dengan tiga perlawanan pertama hanya berselang dua hari.

Perlawanan pertama skuad negara pada 21 Disember 2022 menentang Myanmar di negara itu. Pasukan negara kemudian kembali ke Kuala Lumpur untuk berdepan Laos pada 24 Disember.

- Advertisement -

Perlawanan ketiga pada 27 Disember menentang pasukan pilihan utama, Vietnam dan skuad negara terbang ke negara itu untuk beraksi di gelanggang lawan.

Hanya menentang lawan seberang tambak, Malaysia mempunyai selang hari lebih lama, iaitu enam hari kerana akan menunggu Singapura di Kuala Lumpur pada 3 Januari 2023.

Ini menimbulkan persoalan cara Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) yang berpejabat di Kuala Lumpur, menyusun jadual perlawanan yang ketat kerana bukan hanya Malaysia, malah negara lain juga berdepan kekangan yang sama.

Ini kerana setiap pasukan perlu begerak dari satu negara ke negara lain walaupun perjalanan udara tidak mengambil masa lama, tetapi tetap mencuri tenaga serta masa pemain dan pasukan.

Dalam kejohanan edisi ke-14 ini, Malaysia diletakkan dalam Kumpulan B bersama Vietnam, Singapura, Myanmar dan Laos.

Vietnam akan menjadi lawan terkuat Harimau Malaya, namun kekuatan tiga pasukan lain tidak boleh dipandang remeh kerana berdasarkan kejuaraan sebelum ini, skuad negara boleh tewas mengejut kepada mana-mana negara berkenaan.

Kejohanan kali ini juga adalah kali keempat berturut-turut, Malaysia berada dalam satu kumpulan bersama Vietnam.

Namun pengendali skuad negara dari Korea Selatan, Kim Pan Gon, sudah tentu akan membuat perancangan rapi untuk membawa kejayaan sebelum berdepan tugasan lebih getir di Piala Asia, tahun depan.

Kumpulan A pula dianggotai juara bertahan, Thailand, Filipina, Indonesia, Kemboja dan pemenang aksi kelayakan antara Brunei dan Timor Leste. – HARAKAHDAILY 31/8/22

- Advertisement -