Umno Baling masih dengan perangai lama

- Advertisement -

PADA 1 September 2022 akan datang, YAB Perdana Menteri dijadualkan turun mai lawatan rasmi ke Kedah. Salah satu tempat lawatan ialah di Baling. Perdana Menteri nak melawat lokasi tragedi banjir puing di Iboi, dan menyantuni mangsa banjir. Mungkin juga ada majlis penyerahan bantuan.

Disebabkan program ini adalah program rasmi kerajaan, maka tuan rumah kepada majlis ini ialah Pejabat Daerah Baling, bersama beberapa agensi-agensi Kerajaan Negeri Kedah dan agensi Kerajaan Persekutuan. Jawatankuasa Pelaksana ini diketuai oleh Tuan Pegawai Daerah (DO) Baling. Depa buat mesyuarat. Tempat program dicadangkan di premis kerajaan, iaitu Dewan Kenangan Tun Abdul Razak, Baling. 

Setelah perancangan dibuat dan gerak kerja disusun, tiba-tiba, ada ‘arahan dan tekanan’ supaya program rasmi ini dibuat di premis Barisan Nasional (BN). Stor Logistik Pusat Khidmat Ahli Parlimen Baling yang dipaparkan di dalam Kad Jemputan ini adalah premis parti, premis BN. Bukan premis kerajaan. Orang nombor 1 negara mai, hangpa bawak pi ‘stor’ sahaja. Amat biadab dan memalukan. 

Walaupun Tuan DO Baling menegur dan berunding supaya program ini dilaksanakan di premis kerajaan, namun BN tetap berkeras mahu program ini dilaksanakan di premis miliknya, premis BN. Teguran dan rundingan Tuan DO Baling tidak diendahkan mereka. 

Tuan DO Baling adalah wakil rasmi Kerajaan Negeri Kedah. Suaranya di dalam program ini adalah suara rasmi Kerajaan Negeri Kedah. Bila suara Tuan DO Baling tidak diendahkan, maknanya Umno-BN tak hormat Pegawai Kerajaan Negeri Kedah. Umno-BN tak hormat Kerajaan Negeri Kedah selaku tuan rumah. 

Mangsa-mangsa yang dijemput hadir ke majlis ini terdiri daripada pelbagai latar belakang fahaman politik. Bahkan mungkin juga bukan penyokong mana-mana parti politik. Namun, mereka terpaksa hadir ke premis politik kerana hendak memenuhi kehendak rakus politik kuno dan lapuk pihak tertentu. Maknanya, Umno BN tak hormat mangsa banjir. 

Ada logo Umno dalam kad jemputan rasmi program kerajaan. Ini program kerajaan, bukan program parti politik. Kad ini dipercayai diedarkan kepada semua tetamu-tetamu. Umno-BN tak hormat tetamu. 

Difahamkan, semua Guru Besar dan Pengetua sekolah-sekolah dalam daerah Baling juga dikerahkan untuk hadir. Guru-guru dan murid-murid juga dikerahkan hadir. Kalau hadir ke premis kerajaan, tak mengapa. Tapi dikerahkan hadir ke premis parti. Umno-BN tak hormat guru, tak hormat murid sekolah. 

Semua sikap-sikap di atas adalah perangai lama Umno-BN ketika berkuasa sebelum ini. Nampaknya sekarang mereka sudah kembali kepada perangai lama, perangai politiking melampau yang amat memualkan dan dibenci oleh pegawai-pegawai kerajaan dan rakyat. 

Kerana perangai ini, pengundi pernah menghukum Umno-BN dalam PRU14. Umno-BN dilihat insaf masa tiada kuasa. Tapi itu semua hanya sementara. Bila dah berkuasa, Umno BN ulang balik perangai lama. Tak hormat pegawai kerajaan. 

PH juga buat perangai yang sama masa ada kuasa, tak hormat pegawai kerajaan. Arah buat itu ini untuk penuhi agenda politik kepartian. Pegawai kerajaan meluat dan benci dengan PH. Mereka amat gembira bila PH jatuh. 

PRU kali ni, pengundi tak perlu fikir panjang. Tak perlu hormat orang yang tak hormat kita. Benamkan sahaja Umno-BN DAP PH dalam tanah. Selesai. 

AFNAN HAMIMI TAIB AZAMUDDEN– HARAKAHDAILY 30/8/2022

- Advertisement -
- Advertisement -