
Susunan ZIAUDDIN SHARUDDIN
Pemain tengah Perancis, Paul Pogba, mendedahkan menjadi mangsa cubaan peras ugut kumpulan jenayah terancang, dakwaan yang kini disiasat pihak berkuasa Itali dan Perancis.
Pogba yang menyertai semula kelab Serie A Itali, Juventus pada Julai lalu selepas meninggalkan kelab Liga Perdana Inggeris Manchester United, membuat kenyataan itu, Ahad lalu, selepas abangnya Mathias Pogba menyiarkan video dalam talian.
Mathias Pogba yang bercakap dalam bahasa Perancis, Sepanyol, Inggeris dan Itali dalam video itu, berjanji akan membuat pendedahan hebat mengenai adiknya dan ejen pemenang Piala Dunia 2018, Rafaela Pimenta.
“Pihak berkuasa di Itali dan Perancis telah dimaklumkan sebulan lalu dan tidak akan ada ulasan lanjut berhubung siasatan yang sedang dijalankan,” kata Paul Pogba dalam kenyataan yang ditandatangani peguamnya, ibunya Yeo Moriba dan ejennya.
Pejabat Pendakwa Raya Perancis pula memberitahu bahawa siasatan sedang dijalankan.
“Saya mengesahkan bahawa siasatan telah dibuka pada 3 Ogos lalu atas tuduhan cubaan memeras ugut oleh kumpulan jenayah terancang. Siasatan dipertanggungjawabkan kepada OCLCO,” kata Pejabat Pendakwa Raya.
OCLCO atau Pejabat Membanteras Jenayah Terancang Pusat ialah unit dalam Polis Kehakiman yang ditugaskan untuk menyiasat jenayah terancang.
Pogba, 29, mengalami kecederaan lutut dalam sesi latihan bersama Juventus bulan lalu. Dia memilih untuk tidak menjalani pembedahan dan menjalani terapi konservatif agar cergas beraksi di Piala Dunia Qatar bermula 20 November akan datang.




















