
Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN
KUALA LUMPUR: Kehadiran 5.32 juta pelancong Muslim di Malaysia pada tahun 2019 yang membelanjakan kira-kira RM16.72 bilion membuktikan potensi besar pasaran pelancongan Islam.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato’ Sri Nancy Shukri, berkata berdasarkan kajian rating MasterCard pula, kira-kira 63 juta pengembara wanita Islam berusia 18 hingga 40 tahun pada tahun 2018 membelanjakan AS$80 bilion (RM356 bilion) di seluruh dunia.
Sehubungan itu, katanya Malaysia tidak harus ketinggalan untuk mengambil peluang meraih manfaat daripada potensi pasaran ini.
Katanya, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) mempunyai agensi khas yang memberi tumpuan khusus untuk memperkenalkan konsep Pelancongan Islam di Malaysia dan antarabangsa, iaitu Islamic Tourism Centre (ITC).
“Sejak ITC ditubuhkan pada tahun 2009, Malaysia menerima pelbagai pengiktirafan antarabangsa seperti Destinasi Pilihan Nombor 1 Mesra Muslim di dunia berturut-turut sejak 2011 hingga 2022 oleh CrescentRating yang berpangkalan di Singapura.
“Malaysia juga dinamakan sebagai negara yang mempunyai ekosistem ekonomi Islam paling maju di dunia bagi sektor pelancongan halal sejak 2014 hingga 2022 oleh DinarStandard yang berpangkalan di Amerika Syarikat,” katanya ketika sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Shaharizukirnain Abd Kadir (PAS-Setiu) yang meminta MOTAC menyatakan sejauh mana konsep Pelancongan Islam diketengahkan dalam memajukan sektor pelancongan di Malaysia.
Nancy berkata, MOTAC memperkenalkan banyak inisiatif baru untuk memajukan Pelancongan Islam di Malaysia, termasuk memperkenalkan program Pengiktirafan Penginapan Mesra Muslim (MFAR).
Katanya, program ini mengiktiraf pengusaha hotel atau premis penginapan di Malaysia yang menyediakan perkhidmatan Mesra Muslim berdasarkan garis panduan yang dikeluarkan oleh ITC.
Menjawab soalan tambahan Shaharizukirnain, katanya terdapat tiga kategori MFAR, iaitu platinum, emas dan perak.
Beliau berkata, antara perkara yang dinilai oleh MFAR ialah hotel atau premis penginapan mempunyai tanda arah kiblat, sejadah, kitab suci al-Quran, surau, kemudahan wuduk dan makanan halal.
“Untuk mendapat pengiktirafan platinum, antara kemudahan tambahan yang diperlukan ialah seperti kemudahan kolam renang untuk wanita,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/7/22




















