
Oleh SYAHIRAH SALLEH
KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju untuk menampung sebanyak RM5.8 bilion subsidi elektrik sepanjang bulan ini hingga Disember tahun ini walaupun berlaku peningkatan mendadak kos bahan api di pasaran global.
Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata tindakan itu merupakan langkah mitigasi jangka pendek bagi melindungi rakyat yang berhadapan krisis tenaga global.
“Pengguna domestik kekal menerima rebat 2 sen/kWj dan pengguna bukan domestik kekal dikenakan surcaj 3.70 sen/kWj, berbanding kadar surcaj ICPT (pelepasan kos-kos tidak seimbang) sebenar, iaitu 11.81 sen/kWj.
“Semua pengguna di Semenanjung akan membayar bil elektrik pada kadar yang sama seperti dibayar sepanjang enam bulan pertama tahun ini berdasarkan penggunaan elektrik masing-masing,” katanya.
Bagaimanapun, katanya harga bahan api di pasaran dunia masih kekal tinggi berikutan impak peperangan antara Rusia dan Ukraine sejak Mac lalu dan permintaan bahan api arang batu yang tinggi daripada negara lain.
Bagi mengatasi krisis tenaga dan kos ICPT yang dijangka meningkat, katanya kerajaan merancang beberapa pelan mitigasi jangka panjang.
“Ini termasuk mengutamakan bahan api yang paling murah untuk penjanaan elektrik dan mencadangkan kepada Jemaah Menteri mengenai pemberian subsidi bil elektrik secara bersasar untuk tempoh kitaran ICPT akan datang,” katanya menjawab soalan Abdul Latiff Abdul Rahman (PAS-Kuala Krai) pada sesi pertanyaan jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Takiyuddin berkata, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) juga menyediakan Pelan Pembangunan Penjanaan jangka panjang untuk menetapkan hala tuju bagi perancangan pembekalan elektrik negara dengan mengurangkan kebergantungan terhadap bahan api import seperti arang batu secara berperingkat.
Katanya, kerajaan meletakkan sasaran 31 peratus penggunaan campuran tenaga boleh baharu pada tahun 2025 dan 40 peratus pada tahun 2035.
Selain itu mulai bulan ini, katanya jumlah subsidi yang kerajaan tanggung dipaparkan pada bil elektrik pengguna sebagai langkah memupuk sikap berjimat cermat dalam kalangan rakyat.
Beliau menjelaskan bahawa negara maju seperti Jerman turut berdepan krisis yang sama dan menyaksikan kenaikan tarif elektrik sebanyak 63.7 peratus secara purata kepada 4.2 juta isi rumah.
Di United Kingdom, katanya pengguna mengalami kenaikan bil elektrik sebanyak 54 peratus sejak 1 April lalu, manakala rakyat Thailand mengalami kenaikan sebanyak 5.8 peratus dalam bil elektrik mereka.
Sementara itu di Hong Kong, katanya kenaikan tarif elektrik adalah sebanyak tujuh peratus dan di Indonesia, peningkatan antara 17 hingga 36 peratus. – HARAKAHDAILY 20/7/2022




















