Bahas isu Sultan Sulu dedahkan strategi negara

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun
- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: “Adakah kita mahu semasa kita membahaskan perkara ini (isu tuntutan waris Sultan Sulu), saya tidak tahu apa yang akan diperkatakan, strategi kerajaan didedahkan, dan ada kritikan mengenainya.

“Kemudian pihak lain boleh belajar (strategi negara), adakah ia tidak menjejaskan kepentingan kerajaan dalam prosiding litigasinya? Adakah kita mahu menunjukkan strategi kita kepada dunia,” kata Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun.

- Advertisement -

Beliau menegaskan bahawa unsur kejutan adalah peraturan litigasi yang pertama dan begitu juga dalam peperangan, lantas menjadi tanggungjawab untuk memastikan strategi kerajaan tidak didedahkan kepada pihak luar.

Katanya, ini yang menyebabkan isu tuntutan waris Sultan Sulu bersifat subjudis dan tidak boleh dibahaskan di Dewan Rakyat.

“Membahaskan usul itu sebenarnya mendedahkan strategi pasukan perundangan kerajaan kepada pihak musuh,” katanya menjawab soalan Awang Husaini Sahari (PH-Putatan) di Dewan Rakyat, hari ini.

Awang Husaini berhujah bahawa usul yang dibawanya mengikut Peraturan Mesyuarat 18 (2) adalah untuk meminta penjelasan Kementerian Luar mengenai pemberhentian bayaran kepada waris Sultan Sulu dan bukan mengenai prosiding mahkamah.

Azhar berkata, isu di Mahkamah Tinggi Sepanyol dan Mahkamah Arbitrasi Perancis berhubung tuntutan itu, antara lain berbangkit daripada isu bayaran yuran kerajaan Malaysia kepada waris Sultan Sulu.

“Yang Berhormat Ketua Pembangkang (Datuk Seri Anwar Ibrahim) sendiri katakan tadi, pemberhentian bayaran itu menyebabkan kita kalah, jadi adalah terang isu itu adalah satu isu teras dalam litigasi di Sepanyol dan Paris serta prosiding arbitrasi.

“Ia tertakluk kepada pertikaian dan hujahan dalam proses litigasi itu, maka ia adalah subjudis pada pendapat saya,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/7/22

- Advertisement -