Agong berangkat melawat FIA2022 di UK

- Advertisement -

KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah berkenan berangkat melawat Pertunjukan Udara Antarabangsa Farnborough (Farnborough International Airshow) 2022 (FIA2022) di Farnborough, United Kingdom semalam.

Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda di Farnborough International Exhibition and Conference Centre pada jam 10:30 pagi waktu tempatan disambut Pengerusi Farnborough International, Paul Everitt, dan barisan kepimpinan tertinggi Farnborough International.

Hadir sama, Panglima Angkatan Tentera Malaysia Jeneral Tan Sri Affendi bin Buang, Panglima Tentera Udara Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di United Kingdom Tuan Yang Terutama Zakri Jaafar.

Dalam lawatan yang berakhir pada jam 3:45 petang waktu tempatan ini, Seri Paduka Baginda telah berkenan melawat dan menerima sembah taklimat oleh setiap wakil syarikat dan organisasi yang mengambil bahagian dalam FIA2022.

Ianya termasuk lawatan Seri Paduka Baginda ke Pavilion Malaysia yang diterajui oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE). 

Sebanyak 17 syarikat Malaysia dengan kerjasama MATRADE dan tiga agensi kerajaan – Pejabat Penyelarasan Industri Aeroangkasa Negara, Teraju Bumiputera Corporation dan Invest Selangor Berhad – mengambil bahagian di FIA2022 di bawah Pavilion Malaysia.

Selain itu, Seri Paduka Baginda turut berkenan bertemu dan menyantuni Menteri Eksport United Kingdom, Andrew Griffith dalam lawatan ini.

FIA2022 ialah acara dwi-tahunan selama seminggu, bermula pada 18 Julai 2022, yang menggabungkan pameran perdagangan, untuk industri aeroangkasa dan pertahanan, dan pertunjukan udara.

MATRADE telah mengambil bahagian dalam pameran dwi-tahunan ini sejak 2014. Pada tahun 2021, eksport bahagian dan komponen aeroangkasa Malaysia berjumlah RM5.79 bilion dengan pasaran eksport utama ialah Perancis, China dan United Kingdom. – HARAKAHDAILY 20/7/2022

- Advertisement -
- Advertisement -