
“ANAK saya check, pukul 3:05 pagi tu last dia hantar berita, 3:30 pagi dia masih nak ajak berborak tapi dah mula mengadu sakit dada dan sesak nafas pada 3:55 pagi. Selepas tu dia terus senyap dan tak sedarkan diri.”
Pilu sungguh rasa hati saya saat mendengar cerita daripada isteri arwah Khairul Azlam Mohamad, Penolong Pengarang Harakah yang juga Ketua Biro Harakah Terengganu.
Arwah pulang ke rumah jam 1:00 pagi dan terus menyambung tugasan kerana waktu malam lebih mudah mendapat idea. Selepas satu jam arwah menghantar berita terakhirnya, arwah telah dijemput mengadap Ilahi dan pergi meninggalkan kita semua.
Allahuakbar. Hebat insan ini. Walaupun saya bekerja bersama arwah di Harakah kurang daripada setahun, perkenalan singkat ini amat istimewa dan telah cukup untuk membuat saya kagum menyaksikan pengorbanan dan kesungguhannya dalam perjuangan parti yang didukungnya. Terima kasih atas persahabatan ini.
25 tahun arwah bersama Harakah bukanlah masa yang singkat, berada dalam jemaah pada waktu susah dan senang. Usianya benar-benar diisi untuk kerja menegakkan Islam.
Kehadiran keluarga dan sahabat handai yang ramai mengiringi perjalanan terakhir arwah dan menyempurnakan solat jenazah serta mendoakannya menjadi bukti kepada pengakhiran kehidupannya yang mulia.
Saya lihat ahli keluarga arwah juga amatlah tabah dan sabar menerima ketentuan Allah ini walaupun pemergian arwah ini tidak pernah mereka duga seawal ini.
Saya mewakili seluruh keluarga Harakah akan membantu keluarga arwah semampu yang kami boleh. Semoga dengan sumbangan ini dapat membantu pengurusan keluarga arwah ketika mereka kehilangan tonggak dalam keluarga.
Sama-sama kita doakan kebaikan serta keampunan buat arwah Khairul Azlam. Semoga segala amalnya diterima oleh Allah S.W.T.
Al-fatihah.
SENATOR IR TS KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Ketua Penerangan PAS Pusat – HARAKAHDAILY 20/7/2022
























