
DAPSIS iaitu Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Sister In Islam (SIS) dilihat menjadi pihak paling lantang mempertikaikan PAS berhubung Bon Odori. Mereka menyerlahkan kepura-puraan hairan dan keliru serta bertanya-tanya konon.
Sandaran DAPSIS adalah penganjuran Festival Kelantan-Jepun 2018 yang turut mempersembahkan tarian Bon Odori ketika itu. Dulu tahun 2018 boleh, sekarang tahun 2022 tak boleh – itulah cuba dipertikaikan mereka terhadap PAS.
DAPSIS sengaja memicu isu dengan buat-buat bodoh dan tak tahu demi menjebak heret orang ramai ke kancah polemik, khususnya Muslim. Malang sekali, bom dilontar itu gagal meletus, majoriti umat Islam faham mengenai status Bon Odori.
Mereka turut cuba menyuntik vaksin jahat kepada setidak-tidaknya dalam kalangan bukan-Islam termasuk warga atau pihak negara Jepun kononnya PAS jumud dan ekstrem. Jarum itu juga rupanya berkarat dan lebih awal patah.
Untuk melagakan PAS atau mendakwa ingkar derhaka kepada istana, nampaknya DAPSIS ternyata akur sangat mengenali hakikat diri mereka sendiri tanpa dapat disembunyikan.
Terima kasih Menteri Agama
Bon Odori hanya diketahui ia perayaan keagamaan apabila Menteri Agama, Dato’ Ustaz Idris Ahmad menasihati umat Islam agar tidak menyertainya. Beliau tidak pun mengarahkan pihak berkuasa menghalang acara atau mendesak penganjur membatalkan majlis.
Ramai yang pernah sertainya, termasuk orang Islam kerana ia dirai dalam bentuk tarian. Dalam pengetahuan peserta, ia pesta kebudayaan bangsa Jepun dan satu hiburan. Semata-mata meraikan dan menghormati keunikan budaya.
Malah, sedikit pun mereka tidak memandang sejarah lampau betapa peritnya Jepun pernah menjajah sengsara nenek moyang kita di bumi pertiwi ini. Jauh sekali melihat atau mematuhinya sebagai ritual keagamaan.
Ramai yang berterima kasih kepada Dato’ Ustaz Idris kerana dengan nasihat itu baharulah mereka tahu. Malah, ada yang memanjangkannya kepada rakan kenalan warga Jepun, didapati generasi muda negara itu juga kebanyakannya tidak tahu asal usul Bon Odori.
Hubungan Kelantan-Jepun
Kelantan yang diterajui PAS sejak tahun 1990, mempunyai pertalian langsung dengan Jepun hingga memeterai Bandar Persahabatan Kasaoka-Kota Bharu. Sejarah mengenainya boleh dibaca menerusi pautan yang dilampirkan.
Persahabatan kedua pihak antaranya telah diterjemahkan menerusi penganjuran Festival Kelantan-Jepun saban tahun, di mana salah satu persembahan adalah tarian Bon Odori. Kerana dalam pengetahuan ketika itu, ia hanya semata-mata tarian kebudayaan.
Namun, sebaik nasihat itu diumumkan, Kelantan langsung meniadakan tarian yang telah disahkan ritual agama itu, tetapi tidak membatalkan sambutan Festival Kelantan-Jepun di Kota Bharu pada 4 Jun lalu. Kerana asal sambutan itupun adalah berasaskan hubungan kedua pihak dan ia hanya kemeriahan kebudayaan.
Bermakna, tiada masalah atau halangan meraikan hubungan dengan pihak berlainan negara, bangsa, bahasa, adat, budaya dan agama, selagi tidak melibatkan ritual agama. Ia kebaikan yang dianjurkan Islam dalam meluaskan seruan “Li ta’arafu” iaitu “Agar kamu saling mengenal” (surah al-Hujurat: 13).
Begitulah tindakan Kerajaan PAS Kelantan dahulunya ‘mengharamkan’ wayang kulit dan Mak Yong kerana adanya unsur ritual pemujaan khurafat. Setelah unsur itu dibuang atau ditiadakan, ia kembali dibenarkan semula. Jika inipun DAPSIS tak faham, bermakna kamu dangkal!
Tahu: Hindari dan istighfar
Nasihat Menteri Agama bukan semberono atau prejudis dan sama sekali bukan radikalisme, tapi berdasarkan kajian pihak berautoriti iaitu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Ia pengetahuan baharu banyak pihak di negara ini.
Bahkan, majlis di Kelantan selama dianjurkan dahulu hanyalah sambutan kebudayaan yang tarian Bon Odori dimasukkan tanpa diketahui ia berunsur ritual agama. Berbeza majlis di Selangor dan Pulau Pinang difahamkan ia berasas ritual agama tetapi dimasukkan unsur kebudayaan.
Kini hal sebenarnya telah diketahui, lantas tindakan pembetulan wajiblah kepada setiap Muslim tidak menyertainya atau ditiadakan sahaja secara khusus acara tarian itu. Sementara acara kebudayaan lain boleh sahaja diteruskan tanpa sebarang aktiviti pelanggaran syarak lainnya.
Adapun perlakuan atau penyertaan di masa lalu pula, ia adalah tanpa pengetahuan atau keterlanjuran. Sebagai hamba Allah yang tidak lari dari kesilapan, sebaiknya juga secara peribadi disusuli istighfar dan solat sunat taubat.
Penghasut yang gagal
Dalam hal ini, DAPSIS sekali lagi dilihat gagal menghasut dan membolak-balikkan pendirian terutamanya umat Islam untuk ingkar terhadap urusan agamanya. Malah, ada anak didik DAP begitu ghairah memalit PAS dengan cercaan ‘hipokrit’, tetapi ternampak dia pula yang munafik.
Sepatutnya DAPSIS sedar diri, termasuk perlu ‘nasihat’ dari semua sekutu dan rakan subahat supaya tidak menyibuk hal ehwal agama Islam yang mereka begitu tidak hormati ini.
Ada banyak seruan dan usaha meninggikan Islam dalam negara ini, kamulah yang mengelirukan dan menentangnya. Ada pula larangan-larangan Islam, kamu jugalah yang menganjurkan terbuka menjebak umat Islam untuk bersama.
Kamu gagal kerana kamu mengikut gelojoh syaitan mempolitikkan hal ehwal agama kami. Sedang kami berjuang mengikut jalan lurus Allah Yang Esa.
“Lakum dinukum waliya din” – “Bagi kamu agama kamu, dan bagiku agamaku” (surah al-Kaafirun: 6)
Terima kasih juga kepada semua para Mufti, tokoh dan aktivis Islam yang seia-sekata menjelaskan perkara ini.
NAZMAN CHE IBERAHIM
Darulnaim Research Centre – HARAKAHDAILY 15/6/2022
Lampiran: https://harakahdaily.net/index.php/2022/06/01/sejarah-bandar-persahabatan-kota-bharu-kasaoka/




















