Sejarah Bandar Persahabatan Kota Bharu-Kasaoka

- Advertisement -

PELABURAN ROHM-Wako Electronics (M) Sdn Bhd dimulakan di negara ini dengan pembukaan kilang pertama syarikat itu di Shah Alam, Selangor pada tahun 1986. Setahun kemudian, seorang anak tempatan Kelantan daripada Tumpat Pada tahun 1987, Lee San Ming telah membawa Presiden ROHM-Wako Malaysia, Hirofumi Yoshioka ke Kota Bharu. 

Kehadirannya itu juga adalah untuk meninjau potensi pelaburan di bumi Serambi Makkah ini. Beliau dibawa bersama pegawai Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) ke tapak perindustrian Pengkalan Chepa. Mengagumi persekitaran dilihatnya, beliau terus bersetuju untuk membuka kilang ROHM-Wako di Kelantan. 

Tercetus minatnya adalah kerana rupa bentuk bumi Kota Bharu seakan sama dengan bandar Kasaoka, tempat asal penubuhan Wako Electric Company di Jepun. Beliau seterusnya memaklum kepada Kerajaan Kelantan hasrat untuk memindahkan kilang ROHM-Wako di Shah Alam ke Kota Bharu. 

Dalam masa yang singkat beliau berjaya membina kilang ROHM-Wako di Kota Bharu dan telah dirasmikan pada tahun 1989 oleh KDYMM Al-Marhum Sultan Azlan Shah (Yang Dipertuan Agung pada masa itu). Turut hadir bersama pada waktu itu ialah YAB Dato’ Dr Mahathir Mohamad selaku Perdana Menteri Malaysia.

Pada masa yang sama Yoshioka adalah Presiden pertama ROHM-Wako Electronics (M) Sdn Bhd yang bertapak di Kota Bharu. Seterusnya beliau mula berkenalan dengan Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) dengan mengatur lawatan kunjung hormat ke Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu.

Beliau juga yang bersungguh-sungguh membawa pelancong dari Kasaoka datang melawat Kota Bharu. Ekoran dari minat beliau untuk merapatkan lagi hubungan bandar Kasaoka dengan Kota Bharu, beliau telah menawarkan untuk menghantar seorang pegawai dari MPKB untuk ke Jepun. 

Program selama setahun itu bagi menjalani latihan pertukaran pegawai anjuran Kerajaan Jepun dan Kasaoka City. Pegawai Perhubungan Awam MPKB, Azman Mohd Daham pada masa itu (kini Pengarah Korporat MPKB-BRI) telah dipilih untuk menjalani latihan tersebut bermula Mei 1999 hingga Mac 2000. 

Azman telah berjaya menamatkan latihan dengan cemerlang di Kasaoka City dan pada 20 Oktober 1999, satu majlis Bandar Persahabatan atau Handshake City telah berjaya dimeterai. Ia melibatkan kedua belah pihak di Kasaoka Grand Hotel dan turut dihadiri oleh Yang Dipertua MPKB, Allahyarham Hussin Ahmad ketika itu.

Turut hadir pada waktu itu Setiausaha MPKB, Aziz Mat Hassan dan pegawai-pegawai kanan MPKB. Selepas Azman menamatkan latihan di Kasaoka, beliau kekal memainkan peranan meneruskan agenda Bandar Persahabatan dengan melaksanakan pelbagai program. 

Antaranya termasuklah program pertukaran pelajar, program silang budaya dan program latihan. Boleh dikatakan setiap tahun sejak terjalin persahabatan dengan Kasaoka pada tahun 1999, lawatan ke Jepun telah diadakan. 

Program lain yang turut berjaya dilaksanakan termasuklah lawatan pelajar sekolah ke Jepun, pertandingan bola sepak pelajar Kota Bharu dan Kasaoka dan lawatan oleh Lembaga Pengarah Perbadanan Muzium Kelantan. Turut hadir ke Jepun saban tahun termasuklah Yang Dipertua MPKB, Setiausaha MPKB, Ahli Majlis dan pegawai kanan MPKB. 

Pada tahun 2019 acara kemuncak sempena sambutan Ulang Tahun Ke-20 Bandar Persahabatan Kasaoka-Kota Bharu telah diadakan di Kasaoka, Jepun. 

Rombongan dari Kelantan diketuai oleh Dato’ Mohd Amar Abdullah selaku Timbalan Menteri Besar Kelantan telah ke Kasaoka bagi menghadiri majlis tersebut. Turut hadir Dr Izani Husin EXCO Kerajaan Tempatan, Ahli-ahli Majlis MPKB-BRI, Yang Dipertua serta pegawai kanan MPKB-BRI. 

Pada tahun 2008, Yoshioka telah menerima Anugerah Darjah Kebesaran dari Sultan Kelantan yang membawa gelaran Dato’ Paduka atas jasa beliau membawa pelaburan bernilai tinggi ke Kelantan dan juga usaha beliau dalam persahabatan Kota Bharu dan Kasaoka. 

Sebagai ketandaan persahabatan ini beliau telah membina sebuah Menara Jam Persahabatan di hadapan Pasar Siti Khadijah dan pada tahun 2019 beliau sekali lagi telah menaja pembinaan Taman Keamanan Jepun Kota Bharu di Taman Al Fursan, Pengkalan Chepa.

Pada tahun 2020 dan 2021 oleh kerana pandemik COVID-19 melanda dunia, tiada aktiviti diadakan antara kedua buah bandar. 

Namun pada tahun 2022 setelah fasa endemik bermula pada 1 Mei 2022, pelbagai program telah diatur termasuklah melaksanakan projek mural, lukisan dinding Kota Bharu-Kasaoka dengan kerjasama Konsul Japan Penang, Kasaoka City dan pelajar Universiti Malaysia Kelantan (UMK). 

Selain itu lawatan dari Kasaoka diketuai oleh Dato’ Paduka Yoshioka akan hadir juga ke Kota Bharu pada 4 Jun 2022 untuk hadir ke Festival Kelantan Jepun yang akan diadakan di Mydin Tunjong. Ternyata hubungan Kota Bharu dan Kasaoka terus berkembang terjalin dengan erat. 

Segalanya adalah atas usaha Dato’ Yoshioka selaku Pengerusi Kehormat ROHM-Wako Japan yang bercita-cita besar untuk terus mengukuhkan pelaburan di Kelantan di samping menjalinkan hubungan baik Kota Bharu dan Kasaoka.

MOHD AZREEN MUSTAPA
Darulnaim Research Centre – HARAKAHDAILY 1/6/2022

- Advertisement -
- Advertisement -