
Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF
KUALA LUMPUR: Permohonan projek pembinaan jambatan menghubungkan Pulau Teluk Renjuna ke bandar Tumpat akan dikemukakan dalam Rolling Plan Ketiga, Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).
Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Dato’ Sri Abdul Rahman Mohamad, berkata permohonan dikemukakan kepada Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri (JPM).
Katanya, kementerian mengambil maklum berhubung keperluan pembinaan jambatan bagi menghubungkan kawasan pulau di Teluk Renjuna ke bandar Tumpat dan telah memperolehi maklumat projek daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) Kelantan.
“Skop projek yang akan dimohon melibatkan pembinaan dua buah jambatan baharu sepanjang 300 meter dan jalan tuju sepanjang 1.2 kilometer dengan piawaian JKR R2.
“Jika projek ini diluluskan, ia akan memberi manfaat kepada kira-kira 2,000 penduduk dan tujuh buah kampung dalam menyediakan laluan utama penduduk di kawasan pulau untuk berurusan ke tanah besar di bandar Tumpat,” katanya menjawab soalan lisan Dato’ Che Abdullah Mat Nawi (PAS-Tumpat) di Dewan Rakyat hari ini.
Che Abdullah meminta Menteri Pembangunan Luar Bandar menyatakan perkembangan terkini projek pembinaan sebuah jambatan bagi menghubungkan Pulau Teluk Renjuna ke tanah besar yang menjadi keperluan amat penting kepada penduduk setempat.
Sementara itu, Che Abdullah dalam soalan tambahan, mengakui gembira kerana hanya memohon sebuah jambatan, tetapi kementerian mengemukakan permohonan pembinaan dua buah jambatan.
“Cuma apa yang membimbangkan, kemungkinan permohonan untuk dua jambatan akan menambah kos, sekali gus menyebabkan peluang untuk mendapat kelulusan agak payah,” katanya.
Abdul Rahman berkata, JKR mempunyai alasan berhubung kepentingan membina dua jambatan dan pihaknya juga telah menerima maklumat terperinci projek itu.
“Kita akan berusaha seberapa segera untuk membangunkan projek ini memandangkan ia sangat diperlukan oleh penduduk di pulau berkenaan,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/3/22




















