Kelantan mantap bina ihsan atasi gejala sosial

- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

KOTA BHARU:
Kerajaan Kelantan melaksanakan pelbagai program bina ihsan bagi mengatasi masalah gejala sosial sehingga boleh menjejaskan masa generasi muda.

Exco Pembangunan Insan, Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Teknologi Maklumat Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, antara program terbabit iaitu cakna rakyat dan bina ummah.

- Advertisement -

Katanya, program tersebut yang diadakan sejak tahun 1990-an bagi membina generasi muda yang memiliki syaksiah.

“Biarpun Kelantan memiliki banyak pusat pengajian pondok, sekolah agama dan masjid namun tetap berdepan dengan ancaman sosial kerana kedudukan geografi bersempadan dengan negara jiran.

“Ancaman pil kuda yang dibawa masuk ke negara ini turut memberi kesan kepada generasi muda di Kelantan,” katanya pada taklimat ‘Keluargaku Keluarga Membaca’ di Dewan Teratai Kompleks Kota Darulnaim semalam.

Hadir sama Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita, Dato’ Mumtaz Md Nawi, Adun Bunut Payong Dato’ Dr Ramli Mamat, Adun Jelawat Abdul Azziz Kadir dan Pengarah Perbadanan Perpustakkan Awam Kelantan (PPAK) Mohd Shamsul Baharin Isa.

Program tersebut melibatkan 45 kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) bagi memilih 10 keluarga untuk dinobatkan sebagai Keluarga Bestari dan anugerah Rakyat Bestari.

Pemenang Keluarga Bestari dan Rakyat Bestari peringkat negeri akan diumumkan pada hujung tahun ini, yang bakal membawa pulang hadiah RM3,000 dan sijil.

Dr Mohamed Fadzli juga berkata, program tersebut diadakan bagi memupuk kesedaran membaca dalam kalangan masyarakat.

“Akhir tahun nanti kita bagi hadiah kepada pemenang. Program ini diadakan dengan kerjasama Exco Kebajikan, Keluarga dan Wanita,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/3/2022

- Advertisement -