Sukan muaythai mampu menjulang nama Kelantan

- Advertisement -

Oleh RIZAL TAHIR

KOTA BHARU:
Persatuan Muaythai Kelantan (PMK) menyasarkan bagi melahirkan lebih ramai atlet muaythai kategori amatur bawah usia 12 tahun di negeri itu.

Presidennya, Mohd Azman Ghazali berkata, pihaknya berusaha mencungkil bakat anak muda seawal usia 9 tahun untuk melahirkan atlet muda yang terlatih.

Katanya usaha tersebut perlu digembleng semula memandangkan penyertaan atlet muda Kelantan agak ketinggalan kebelakangan ini berbanding negeri-negeri lain di Malaysia.

- Advertisement -

“Kita mahu sukan tradisi ini digemilangkan semula di Kelantan kerana negeri ini merupakan pelopor sukan muaythai di Malaysia.

“Sekarang kita masih ketinggalan dari segi pembangunan dan pengiktirafan sukan terbabit,” katanya pada sidang media di sini. Turut hadir wakil Persatuan Muaythai Kebangsaan dan penaja.

Baru-baru ini seramai 400 atlet menyertai Kejohanan Muaythai Elit Senior dan Junior Kebangsaan 2022 yang dianjur kerajaan Kelantan.

Mohd Azman juga berkata, sukan tersebut mampu menjulang semula nama Kelantan dengan mempertingkatkan prestasi atlet muaythai.

Kata beliau usaha dilakukan bagi melahirkan lebih ramai atlet muda di Kelantan yang mampu beraksi cemerlang di peringkat antarabangsa.

“Ia mengambil kira ramai anak muda yang berbakat dalam sukan tersebut untuk muncul atlet muaythai yang handal.

“Dalam tempoh dua tahun kita mengadakan perancangan lebih tersusun untuk membawa sukan ini lebih jauh,” katanya.

Menurutnya juga persatuan itu menjalinkan kerjasama dengan kerajaan negeri, agensi-agensi sukan dan beberapa syarikat korporat di Kelantan bagi mengembangkan lagi sukan muaythai. – HARAKAHDAILY 23/3/2022

- Advertisement -