
Oleh SARINA ISMAIL
ALOR SETAR: Langkawi akan dijadikan pulau rendah karbon menjelang tahun 2035 sebagai projek rintis pelancongan bertaraf antarabangsa.
Menteri Besar Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, Majlis Perbandaran Langkawi Bandar Baru Pelancongan (MPLBP) berusaha memastikan pembebasan gas rumah hijau yang rendah.
Katanya ia sebagai alternatif aktiviti bersifat mesra alam yang didukung kerajaan negeri.
“Buat masa ini kerajaan negeri menggalakkan penggunaan kenderaan mesra alam di Langkawi khususnya kenderaan hibrid dan elektrik.
“MPLBP menggunakan kenderaan elektrik untuk tugasan rondaan,” katanya menjawab soalan Dato’ Norsabrina Mohd Noor (BN-Bandar Baru) pada persidangan Dun semalam.
Menurutnya juga MPLBP menyediakan kereta elektrik kegunaan beberapa jabatan termasuk Jabatan Penguatkuasaan, Unit Tempat Letak Kereta dan Perlesenan.
Selain itu menggunakan lampu isyarat ‘smart system’ di Jalan Persiaran Putra, Kuah.
Sanusi juga berkata, Bahagian Perancang Ekonomi Negeri dan Economic Council berusaha menarik pelaburan bersifat mesra alam ke Langkawi yang diterapkan melalui prosedur permohonan Kelulusan Dasar bagi membangunkan tanah kerajaan.
“Pelaburan di Langkawi perlu mengikut syarat ditetapkan bahagian teknikal seperti Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Kerja Raya.
“Syarat ditetapkan mesti menerapkan elemen mesra alam dan konsep hijau yang bertepatan dengan hasrat kerajaan negeri untuk menjayakan Pulau Langkawi Pulau Rendah Karbon,” kata beliau. – HARAKAHDAILY 23/3/2022











