Tanah runtuh: Pencarian di tapak nahas pesawat China dihentikan

Operasi pencarian di lokasi pesawat Boeing 737-800 China Eastern Airlines di daerah Tengxian, berhampiran bandar Wuzhou di wilayah Guangxi Zhuang, di Selatan China terpaksa dihentikan pada Rabu, 22 Mac 2022. (FOTO AP)
- Advertisement -

WUZHOU, China: Operasi pencarian petunjuk mengapa sebuah kapal terbang komersial China terjunam secara tiba-tiba dan terhempas di sebuah kawasan pergunungan di selatan China dihentikan pada Rabu (23 Mac), ekoran kebimbangan tanah runtuh susulan hujan lebat melanda lokasi kejadian yang menyebabkan ia kini dipenuhi kesan kotoran merah akibat hentaman api pesawat berkenaan.

Terdahulu, anggota yang terlibat dalam pencarian itu telah menggunakan peralatan tangan, dron dan anjing penghidu dalam keadaan hujan untuk ‘menyikat’ cerun yang dipenuhi hutan lebat itu bagi mengesan data penerbangan dan perakam suara kokpit pesawat, serta mana-mana jenazah manusia mangsa kejadian itu. 

- Advertisement -

Mereka juga telah mengepam air dari lubang yang dicipta apabila pesawat itu mencecah tanah, tetapi usaha ditangguhkan pada sebelah pagi Rabu itu susulan kebimbangan akan kemungkinan berlaku tanah runtuh di cerun yang curam dan licin di situ.

Klip video yang disiarkan oleh media negara China menunjukkan kepingan kecil pesawat Boeing 737-800 bertaburan di kawasan itu.Dompet, buku bank dan kad pengenalan yang berlumuran lumpur juga telah ditemui. Setiap serpihan mempunyai nombor di sebelahnya, yang lebih besar ditandakan dengan pita polis.

Lokasi di kaki cerun tempat pesawat Boeing 737-800 China Eastern Airlines terhempas di daerah Tengxian di Selatan China ini kini tidak selamat buat petugas yang terbabit dalam operasi pencarian selepas kawasan itu dilanda hujan lebat sejak 22 Mac 2022. (FOTO AP)

Penerbangan China Eastern Airlines itu membawa 123 penumpang dan sembilan anak kapal dari Kunming di wilayah Yunnan ke Guangzhou, sebuah pusat perindustrian di pantai tenggara China, apabila ia terhempas petang Isnin (21 Mac) di kawasan pergunungan di daerah Tengxian, berhampiran bandar Wuzhou di sini, di wilayah autonomi Guangxi Zhuang di selatan China. 

Kesemua 132 orang yang berada di atas kapal itu dianggap terbunuh kerana buat masa ini belum ada sebarang mangsa yang selamat ditemui. – AP

- Advertisement -