Mesir beli gandum dari Rusia, Ukraine

Mesir turut membeli kira-kira 63,000 tan gandum dari Romania dan baru-baru ini menerima penghantaran lanjut bijirin berkenaan dari Perancis. (FOTO Shutterstock)
- Advertisement -

KAHERAH: Mesir telah membeli kira-kira 126,000 tan gandum dari Rusia dan Ukraine di tengah-tengah konflik berterusan antara kedua-dua negara berkenaan.

Kementerian Bekalan Dalam Negeri Mesir dalam kenyataannya pada Isnin (14 Mac) berkata, bekalan gandum yang diimport negara itu yang berjumlah 63,000 tan masing-masing dari setiap Rusia dan Ukraine dijangka tiba di pelabuhan Mesir dalam beberapa hari akan datang ini.

- Advertisement -

“Mesir juga telah membeli  63,000 tan gandum dari Romania dan baru-baru ini menerima penghantaran lanjut bijirin berkenaan dari Perancis,” ujar kenyataan tersebut. 

Pengumuman itu dibuat selepas Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi baru-baru ini mengadakan Pertemuan dengan pihak kerajaan negara itu untuk meluluskan insentif baharu bermatlamat menggalakkan penanam gandum tempatan meningkatkan pengeluaran mereka.

Selepas mesyuarat itu, jurucakap presiden berkata rundingan itu berkaitan dengan ‘semakan semula eksekutif kedudukan dalam beberapa projek negara dalam sektor keselamatan makanan dan pertanian’, termasuk usaha meningkatkan produktiviti.

“Dalam konteks ini, presiden mengarahkan untuk memberikan insentif bekalan tambahan kepada harga gandum tempatan untuk musim pertanian semasa, untuk menggalakkan petani membekalkan kuantiti terbesar mungkin,” ujar kata jurucakap berkenaan.

Menteri Bekalan Mesir, Ali Al-Moselhi pula menegaskan bahawa kerajaan negara itu menyasarkan untuk membeli lebih 6 juta tan gandum tempatan semasa musim menuai, yang bermula pada pertengahan April ini.

Terdahulu, Perdana Menteri Mesir, Mostafa Madbouly pada  Rabu (9 Mac) berkata bahawa rizab strategik gandum negara itu mencukupi untuk bertahan selama empat bulan dan bahawa kerajaan tidak perlu lagi mengimport gandum dari luar negara sebelum akhir tahun ini.

Mesir merupakan pengimport gandum terbesar di dunia dan membeli sebahagian besar daripada apa yang diperlukannya dari Rusia dan Ukraine. – Arab News

- Advertisement -