
JOHOR BAHRU: Dua hari berbaki menjelang hari pengundian Sabtu ini, ulama turut berkongsi panduan dengan rakyat Johor sebelum mereka memangkah di kertas undi.
Laman sosial Perikatan Nasional (PN) turut memaparkan petua yang digariskan Mufti Perlis Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin bagi memilih calon mana Sabtu ini.
Laman itu mengajak pengundi di Johor mengikuti pandangan ilmuwan agama terbabit mengenai keperibadian Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Sesungguhnya terbukti tiada kompromi Perikatan Nasional dalam mengangkat kepimpinan yang telus dan berintegriti. Selain banyak berbakti dan memusatkan khidmat semata-mata untuk rakyat,” katanya.
Dr Mohd Asri pula berkata, beliau tidak tahu tentang (keperibadian) seseorang pemimpin, namun Allah lebih mengetahui mengenainya.
Katanya ketika hendak memilih pemimpin hendaklah mengutamakan seseorang yang beragama, menunaikan solat dan mengambil ambil tahu tentang kebidupan beragama.
“Data seperti ini yang kadang kala kita perlukan. Orang yang ambil tahu soal halal dan haram dan solat berjemaah merupakan ciri-ciri yang baik.
“Mudah-mudahan ia boleh memelihara seseorang pemimpin daripada perbuatan tidak elok. Jadi itu kredit untuknya.
“Saya berharap kelebihan itu kerana ada kesedaran agama. Beliau ambil berat tentang hukum hakam agama yang diharap dapat mengawal dirinya, keluarga dan orang di sekliling mengelakkan rasuah sehingga merosakkan pentadbiran negara,” ujarnya pada rakaman itu.
Menurutnya juga sebagai rakyat hendaklah pakat mendoakan supaya seseorang pemimpin yang akan naik dapat melakukan sesuatu yang baik.
Dikongsikan Hadis Nabi Muhammad s.a.w yang bermaksud ‘Atas seseorang individu Muslim itu perlu taat kepada pemerintah sama ada dia suka atau tidak, selagi dia (pemerintah) tidak menyuruh kepada maksiat.
Dalam konteks demokrasi kata Dr Mohd Asri, kalau pemimpin itu menyeru kepada kerosakan maka ketika itu kita akan membantah. – HARAKAHDAILY 9/3/2022




















