
KUALA LUMPUR: Tuan Guru Haji Isa Yahya telah kembali ke rahmatullah kurang lebih jam 5 petang tadi.
Perkara itu dimaklumkan oleh Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria menerusi laman Facebook beliau malam ini.
“Mendengar perkhabaran duka dimaklumkan Tok Ayah Haji Isa ulama tertua berumur 106 tahun di Malaysia telah kembali ke rahmatullah kurang lebih jam 5 petang tadi,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau mengucapkan takziah kepada keluarga almarhum.
“Semoga rohnya dilimpahi rahmat Allah Taala dan ditempatkan dalam kalangan para kekasih Allah,” katanya yang juga Exco kerajaan negeri.
Dalam satu lagi hantaran, Razman menyatakan beliau sempat menunaikan solat jenazah almarhum di Masjid Jamek Gerik selepas selesai bermesyuarat di Bagai Serai.
“Alhamdulillah setelah selesai mesyuarat di Bagan Serai petang tadi, Pak Teh terus bergegas dan selamat sampai ke Masjid Jamek Gerik bagi melaksanakan solat jenazah Allahyarham Tuan Guru Tok Ayah Haji Isa,” katanya.
Almarhum yang tinggal di Kampung Ulu Kederong, Gerik mendapat pendidikan awal di pondok sekitar Patani, antaranya Pondok Dala sebelum berangkat ke Mekah.
Antara gurunya ialah Tok Dala, Tok Moggoi, Pak Da Eil Mekah, Syeikh Abdul Qadir al Mandili, Sayyid Alwi Bin Abbas al Maliki, Sayyid Amin al Kutbi dan Tuan Guru Haji Yahya Kupang.

Beliau pernah berbaiah Tariqat Syatariyyah dan menerima amalan dalam Kitab Dala’il Khoirot dengan Pak Da Eil Mekah. – HARAKAHDAILY 27/1/2022




















