
“ADA orang tanya saya, kita dah jadi kerajaan. Kenapa masih nak kutip derma? Guna sahaja kuasa yang ada, GLC yang ada, ambik duit dari situ macam yang ‘depa’ duk buat sebelum ni“.
Seorang hadirin yang duduk di sebelah tadi kelihatan macam sedikit terpaku dengan ayat Menteri Besar (MB) ini. Dia yang tadinya tunduk, tiba-tiba panggung (angkat) kepala perhati ke arah pentas. Mulutnya diam tak bercakap, dahinya sedikit berkerut, barangkali nak dengar apa ayat seterusnya yang akan keluar dari mulut MB.
“Duit kerajaan, saya tidak akan bawa sepuluh sen pun ke sini (parti). Duit kerajaan adalah duit rakyat, tak boleh guna untuk parti. Duit parti kena mai daripada sumbangan infaq ahli, tak boleh ambik daripada duit kerajaan,” MB menyambung ucapannya.
Tegas dan berprinsip nada ucapan MB tadi ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah Pusat Latihan PAS Kedah di Sedim, Kulim, Kedah pagi tadi.
Memang dalam hal duit ringgit, MB sangat tegas dan teliti. Setiap satu sen perbelanjaan yang melibatkan duit kerajaan, MB akan tanya satu persatu. Sibuk dan kalut macam mana pun, MB mesti akan tanya, duit itu nak guna untuk apa, kenapa nak kena belanja, kalau tak belanja jadi apa. Kalau benda itu nak kena beli baru, MB akan tanya benda yang lama itu dah rosak ke? Tak boleh pakai dah ke?
Kalau perbelanjaan itu tak munasabah, tak ada sebab yang kuat dan justifikasi yang kukuh, MB akan ambil pen dan buat tanda ‘pangkah’ pada kertas yang tertulis angka butiran perbelanjaan yang tak perlu itu.
“Saya nak bagi tau kat tuan-tuan, saya cemburu dengan tuan tanah ini. Saya cemburu sebab tuan tanah ini sanggup wakafkan tanahnya yang strategik ini kepada PAS. Tanah ni elok, tepi sungai, harga mahai. Tapi tuan dia wakafkan kepada PAS,” MB menyambung bicaranya. Suara MB jadi tersekat-sekat.
Kali ini nada ucapan MB yang tegas tadi berubah menjadi sebak. MB sebak kerana MB kenal dengan pewakaf ini. Pewakaf ini seorang peneroka FELDA, duduk di Pahang. Rumahnya di tanah FELDA itu biasa sahaja, bukan rumah banglo mewah yang besar. Tadi pun dia tak dapat hadir, tak sihat. Hanya anaknya sahaja yang hadir mewakili ayahnya. Hadir dari Pahang ke Kedah, semata-mata nak wakafkan tanah kepada PAS!
Walaupun pewakaf ini bukanlah orang yang dianggap berharta, namun beliau tetap menyumbang hartanya kepada perjuangan, kepada PAS. Kerana beliau yakin, harta yang sebenar adalah harta ketika ‘di sana’ kelak. Inilah yang menyebabkan MB ‘cemburu’ dan sebak tadi.
Di akhir ucapan, MB turut mengumumkan untuk menyumbang sebulan gaji untuk dana pembinaan Pusat Latihan PAS Kedah ini.
Begitulah hebatnya nilai sebuah pengorbanan dalam satu perjuangan. Pengorbanan inilah yang menjadikan sesebuah perjuangan itu terus hidup subur, walau dilanda badai bergelora.
Apa maknanya sebuah perjuangan kalau hanya hidup untuk menerima, tak pernah fikir untuk memberi.
Teringat pesanan seorang teman. Hidung yang ada ini bukannya hanya guna untuk menyedut udara (menerima), tetapi kena guna juga untuk menghembus (memberi). Kalau kita hanya duk sedut sahaja sampai bila-bila, tak hembus, boleh mati!
Perjuangan juga begitu. Kalau berjuang hanya untuk nak habuan diri sahaja, lama-lama akan mati. Tunggu. Tak lama dah.
AFNAN HAMIMI TAIB AZAMUDDEN
27 Januari 2022, Sedim, Kulim – HARAKAHDAILY 27/1/2022




















