Komen rasis dalam talian terhadap pemain bola sepak bakal terima padah

Pemain England, Marcus Rashford, yang gagal menyempurnakan penalti dalam perlawanan akhir Euro 2020 menjadi sasaran kebencian di media sosial.
- Advertisement -

LONDON: Sesiapa yang disabitkan kesalahan kerana melakukan penderaan secara dalam talian terhadap pemain bola sepak di United Kingdom akan dilarang menghadiri perlawanan bola sepak sehingga 10 tahun.

“Pada musim panas ini, kita melihat permainan cantik bola sepak dicemari oleh unsur rasis memalukan dalam talian. Mereka berselindung di sebalik papan kekunci komputer dan mendera pemain bola sepak,” katanya Setiausaha Dalam Negeri United Kingdom, Priti Patel.

- Advertisement -

Katanya, mereka yang bertanggungjawab melakukan penderaan rasis menggerunkan dalam talian perlu dihukum. Perubahan undang-undang yang saya umumkan akan memastikan mereka dilarang menghadiri perlawanan bola sepak,” katanya.

Penguatkuasaan Arahan Pengharaman Bola Sepak bertujuan mencegah keganasan akan menghalang individu menghadiri perlawanan bola sepak sekurang-kurang tiga tahun dan maksimum 10 tahun.

Undang-undang baharu itu akan dikemukakan awal tahun 2022 dalam bentuk pindaan terhadap Rang Undang-Undang Polis, Jenayah, Hukuman dan Mahkamah.

Ini membolehkan undang-undang sedia ada diperluaskan meliputi kesalahan kebencian secara dalam talian selepas Perdana Menteri, Boris Johnson, berikrar menangani isu kebencian terhadap pemain kulit hitam dalam skuad England yang tewas kepada Itali dalam perlawanan akhir Euro 2020.

Mesej penghinaan di Twitter dan laman sosial milik Facebook, iaitu Instagram, tersebar luas ditujukan kepada Marcus Rashford, Jadon Sancho dan Bukayo Saka, tiga pemain yang gagal menyempurnakan sepakan penalti buat England pada perlawanan itu.

Mengikut statistik kerajaan, sebanyak 1,359 arahan larangan bola sepak dikenakan terhadap individu di England dan Wales sehingga 1 Ogos lalu. – HARAKAHDAILY 28/12/21

- Advertisement -