UniMAP sedia khidmat kaunseling bantu mangsa banjir

- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

ARAU:
Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) bersedia menggerakkan seluruh jentera badan beruniformnya membantu penduduk pasca banjir yang melanda beberapa negeri.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UniMAP Prof Dr Mohd Fo’ad Sakdan berkata, anggaran jumlah pelajar dan staf gabungan badan beruniform seperti PALAPES, Kor SUKSIS dan sukarelawan lain dalam misi bantuan banjir seramai hampir 600 orang.

- Advertisement -

“Mereka akan digerakkan secara berfasa dengan mengambil kira bidang kemahiran supaya dapat disesuaikan dengan keperluan dan situasi banjir.

“Untuk permulaan, seramai 150 pelajar badan beruniform dan staf bertolak ke Temerloh bagi menjayakan misi bantuan pasca banjir,” katanya ketika melancarkan Misi Ops Pasca Banjir yang diadakan di Dataran Bas Kolej Kediaman Tuanku Tengku Fauziah, di sini, semalam.

Turut hadir Pengarah Keselamatan Mustaffa Ismail selaku ketua operasi.

Tambah Dr Mohd Fo’ad UniMAP akan menghantar staf yang mempunyai kepakaran dalam bidang perubatan, teknikal dan pembangunan serta khidmat sokongan psikologi dan kaunseling untuk membantu mangsa banjir selaras dengan konsep UniMAP For Society.

“Mereka akan berkongsi kepakaran bagi menyelesaikan permasalahan masyarakat agar mangsa dapat kembali menjalani kehidupan seperti biasa.

“Malah UniMAP bersedia dengan pelbagai kelengkapan bagi menjayakan misi kali ini. Misi tersebut menggunakan tiga bas dan tiga van.

“Mereka ini akan berkampung selama tiga hari dua malam sebelum diteruskan oleh kumpulan lain ke lokasi yang akan ditentukan nanti,” katanya.

Beliau menjangka sebanyak enam fasa bakal dilaksanakan bagi menjayakan misi bantuan pasca banjir tersebut.

Minggu lalu, UniMAP menghantar seramai 70 sukarelawan bagi membantu mangsa banjir di Lembah Klang dalam dua fasa bermula 20 Disember lepas bersama Pusat Pembangunan dan Perkhidmatan Pelajar dan Majlis Perwakilan Pelajar. – HARAKAHDAILY 28/12/2021

- Advertisement -