
SAMAR: Wartawan Filipina, Jesus ‘Jess’ Malabanan yang membantu dalam siasatan agensi berita antarabangsa, Reuters yang memenangi Hadiah Pulitzer mengenai perang dadah Presiden Filipina, Rodrigo Duterte, mati ditembak mati semalam (Rabu, 8 Nov) di Calbayoq Ciy, di wilayah Samar.
Malabanan merupakan wartawan ke-22 terbunuh sejak Duterte memegang jawatan Presiden pada pertengahan tahun 2016.
Menurut laporan polis tempatan, Malabanan, 58, maut selepas ditembak di bahagian kepalanya ketika sedang menonton televisyen di kediamannya, dan dua penyerang yang tidak dikenali melakukan serangan itu belum ditangkap.
Malabanan dikejarkan ke hospital swasta di bandar ini tetapi disahkan meninggal dunia semasa ketibaan di hospital berkenaan, lapor Al-Jazeera.
Sebelum pembunuhan Malabanan, data yang dikumpul Kesatuan Kebangsaan Wartawan Filipina (NUJP) menyenaraikan sekurang-kurangnya 21 wartawan telah dibunuh di negara itu sejak Duterte mengambil alih jawatan presiden pada Jun 2016.
Pada bulan Oktober lalu, wartawan dalam talian dan pengulas radio, Orlando Dinoy dibunuh di dalam apartmennya di wilayah Davao selatan, kubu kuat Duterte. Penyerangnya yang disyaki telah ditangkap dan kemudian didakwa atas tuduhan membunuh, tetapi jurucakap kerajaan berkata, pembunuhan Dinoy tidak dikaitkan dengan pekerjaannya.
Pada bulan Mei, seorang wartawan yang bertukar menjadi ahli politik, yang juga bekas Pengarah NUJP, John Heredia telah mati dibunuh di wilayah Capiz di tengah pulau Panay.
Sementara, Jawatankuasa Melindungi Wartawan yang berpangkalan di New York berkata, sebanyak 87 pengamal media terbunuh dalam menjalankan tugas di Filipina sejak 1992.
Indeks impuniti CPJ yang diterbitkan pada akhir Oktober 2021pula meletakkan Filipina di tempat ketujuh di seluruh dunia untuk bilangan kes pembunuhan wartawan yang tidak dapat diselesaikan.
Termasuk pembunuhan Malabanan baru-baru ini, terdapat sekurang-kurangnya 14 pembunuhan wartawan yang tidak dapat diselesaikan di negara berkenaan.
Kebanyakan pembunuhan berlaku di wilayah di mana wartawan mempunyai perlindungan yang agak kurang berbanding rakan sekerja mereka di ibu negara, Manila, apabila mereka terbabit membuat liputan berita kontroversi.
Sebagai seorang wartawan bebas, Malabanan menyumbangkan berita kepada beberapa penerbitan berpangkalan di Filipina serta Reuters.
Dalam catatan media sosial, wartawan Manny Mogato, yang juga sebahagian daripada pasukan Reuters yang memenangi Hadiah Pulitzer 2018 dalam Pelaporan Antarabangsa, menulis bahawa Malabanan ‘banyak membantu Reuters dalam cerita perang dadah yang memenangi Pulitzer pada 2018’.
Laporan mengatakan Malabanan telah diancam di kampung halamannya di utara Pampanga, jadi dia telah memutuskan untuk berpindah ke Samar di tengah Filipina.
“Saya menyertai rakan wartawan dalam mengecam pembunuhan Jess…ia sama sekali tidak boleh diterima. Keadilan untuk Jess,” tambah Mogato.
Siri cerita Reuters yang memenangi anugerah mendedahkan ‘kempen pembunuhan kejam di sebalik perang terhadap dadah Presiden Filipina Rodrigo Duterte’, menurut petikan Pulitzer.
Pasukan wartawan Reuters melaporkan mengenai peranan pegawai polis Davao dalam serbuan dadah yang membawa maut di Manila, serta penggunaan hospital untuk menyembunyikan pembunuhan pengedar dadah di negara itu.
Perang dadah Duterte, yang menyebabkan beribu-ribu suspek dadah mati, kini menjadi subjek siasatan oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa.
Dalam satu kenyataan, Kelab Akhbar Pampanga menggesa pihak berkuasa ‘untuk membantu dalam siasatan segera yang akan membawa kepada penahanan pelaku tindakan pengecut ini demi keadilan’.
NUJP juga mengeluarkan kenyataan ‘mengutuk pembunuhan tidak masuk akal’ Malabanan.
Sementara, seorang peguam hak asasi manusia antarabangsa dan pembela wartawan, Caoilfhionn Gallagher menyifatkan mendengar berita pembunuhan terbaharu itu sebagai ‘mengerikan’, ketika beliau bersedia untuk acara di Oslo yang berkaitan dengan Hadiah Keamanan Nobel.
Hadiah berkenaan pernah diraih oleh wartawan Filipina, Maria Ressa pada 8 Oktober lalu, yang mana Ressa, 58, pemilik agensi berita Rappler juga pernah menerima ugutan bunuh susulan sering melaporkan tentang isu perang dadah Duterte. – HARAKAHDAILY 9/12/2021




















