
Oleh KHAIRUL AZLAM MOHAMAD
KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu mengumumkan bantuan dana raya i-Fitri kepada golongan isi rumah terjejas kalangan B40 dan sebahagian M40 yang memanfaatkan seramai 115,000 penerima.
Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata bantuan i-Fitri bernilai RM400 kepada keluarga miskin dan RM250 kepada isi rumah berpendapatan antara RM2,500 hingga RM5,000 sebulan.
“Pada hari ini, saya ingin mengumumkan bantuan i-Fitri bernilai RM400 kepada 31,500 isi rumah miskin dan RM250 kepada 83,500 isi rumah berpendapatan antara RM2,500 hingga RM5,000 yang disalurkan menjelang hari raya nanti.
“Bantuan ini diharapkan dapat menyokong kewangan semua isi rumah B40 dan sebahagian isi rumah M40, supaya dapat meraikan Aidilfitri dengan lebih meriah dan berkat, setelah dua tahun menyambutnya dengan penuh keterbatasan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Terengganu 2022 bertemakan ‘Merakyatkan Sejahtera Untuk Semua’ pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-14 di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.
Selain itu, Dr Samsuri berkata bantuan ‘one-off’ bernilai RM150 turut diberikan kepada 6,000 isteri ketua isi rumah e-Kasih dan ibu tunggal yang berpendapatan di bawah RM2,500.
“Seramai 8,900 Orang Kelainan Upaya (OKU) yang isi rumah berpendapatan RM4,000 dan ke bawah pula akan menerima bantuan tunai ‘one-off’ bernilai RM150 seorang.
“Bagi menghargai peranan 150 orang imam dan bilal di bawah Skim Mubaligh, dengan ini saya mengumumkan bantuan tunai ‘one-off’ berjumlah RM150 sebagai tambahan atas pemberian sebanyak RM500 oleh kerajaan Persekutuan kepada semua imam dan bilal di seluruh negara,” katanya.
Menurutnya, kerajaan negeri turut menzahirkan rasa dukacita terhadap nasib 70 pelajar yang kini menjadi yatim piatu akibat pandemik Covid-19 yang melanda sejak hampir dua tahun ini.
“Sebagai tanda simpati kerajaan negeri, pemberian bernilai RM500 disediakan untuk mereka dalam bentuk tunai dan caruman tabung pendidikan. Sama-samalah kita mendoakan semoga ibu dan ayah mereka ditempatkan dalam kalangan solihin,” katanya.
Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu ke-14 ini mengenai Belanjawan Terengganu Tahun 2022 yang bermula 15 hingga 18 November di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu. – HARAKAHDAILY 15/11/21




















