Penjenayah menyamar sebagai anggota polis diberkas

- Advertisement -

Oleh SALMAH MAT HUSAIN

TANAH MERAH:
Tujuh kes samun dengan menyamar sebagai anggota polis berakhir apabila penjenayah terbabit diberkas kelmarin.

Mereka dikatakan memaksa mangsa menyerahkan semua barangan berharga atau diugut akan ditahan sekiranya tidak berbuat demikian.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Superintendan Zainuddin Md Yusuf berkata, pada kejadian jam 6.15 petang Khamis lalu, suspek berusia 38 tahun bersama seorang rakannya menahan seorang lelaki di tepi jalan di Batu Gajah.

- Advertisement -

“Suspek mengaku sebagai polis dan meminta mangsa yang juga pengadu menyerahkan semua barang untuk diperiksa kerana disyaki pengedar dadah.

“Akibat takut, mangsa menyerahkan beg silang, dompet duit serta dua unit telefon pintar sebelum kedua lelaki terbabit beredar,” katanya pada kenyataan media di sini.

Susulan laporan yang dibuat mangsa, Zainuddin berkata, pihaknya menangkap dua suspek tersebut di Taman Kota Harmoni di sini pada jam 7.15 malam Jumaat lalu.

Katanya, turut dirampas adalah 4,000 biji pil kuda, empat baju panas, dua topeng muka dan wang tunai berjumlah RM1,752.

“Seorang lagi lelaki ditahan dipercayai rakan suspek dan terbabit dalam tujuh kes samun sebelum ini ditahan di sebuah bengkel di Jalan Wan Ahmad, di sini pada jam 5.30 petang Sabtu.

“Siasatan awal mendapati dua daripada mereka yang berusia 22 dan 38 tahun mengaku melakukan tujuh kes samun di sekitar Tanah Merah iaitu empat kes terhadap warga asing di rumah kongsi, dua ke atas penunggang motosikal dan satu kes membabitkan kedai runcit.

“Manakala seorang lagi lelaki yang juga berusia 38 tahun mengaku hanya menemani suspek untuk menjual dadah,” katanya.

Menurutnya juga ketika kejadian suspek menggunakan parang bagi mengugut akan mencederakan mangsa jika melawan.

“Hasil ujian saringan yang dibuat mendapati keduanya positif dadah jenis Methamphethamine serta seorang lagi positif Nimetazipam (benzo). Mereka ditahan reman enam hingga tujuh hari bermula kelmarin.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan (KK), Seksyen 170 KK dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) yang boleh dihukum gantung sampai mati,” katanya. – HARAKAHDAILY 15/11/2021

- Advertisement -