
BENTONG: Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan (LKK) PAS Kawasan Bentong telah mengadakan ziarah menyantuni mangsa kebakaran rumah kedai di Kampung Baru Karak, di sini kelmarin dahulu.
Pengerusi LKK PAS Bentong, Mustaffa Abu Bakar pada kunjungan bersama Jabatan Amal Bentong itu mewakili PAS Bentong menzahirkan simpati dan rasa sedih di atas kejadian yang menimpa penduduk terbabit.
“PAS Bentong amat bersimpati dan turut sama merasa sedih di atas kejadian yang menimpa penduduk dan berharap semua mangsa beserta ahli keluarga dapat bertenang dan bersabar.
“Walaupun PAS bukan wakil rakyat kawasan ini, tetapi kami tetap berusaha membantu penduduk. PAS tak tunggu kuasa baru nak tolong orang,” ujarnya mewakili Yang Dipertua PAS Bentong, Khairuddin Abdullah
Beliau mengagih 100 bakul makanan sumbangan PAS Bentong kepada mangsa-mangsa kebakaran di mana lawatan dan serahan tersebut turut disertai GERAKAN selaku parti rakan komponen Perikatan Nasional.
Mustaffa hadir ditemani Ketua Penerangan PAS Bentong, Nordin Rasip dan Ketua Lajnah Keseniaan, Kebudayaan dan Rekreasi PAS Bentong, Zairul Azizan serta Komandan Amal Bentong, Faiz Bahawi.
Turut bersama, Ahli Jawatankuasa PAS Bentong, Masroni Ramli, Khairil Muhammad dan Ketua PAS Cawangan Bandar Karak, Nakhowi Sameon.
Pada malam Jumaat lalu, satu kebakaran lebih tiga jam berlaku di Kampung Baru Karak memusnahkan premis perniagaan dan rumah kediaman membabitkan 51 keluarga terdiri daripada 168 individu.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar di dalam satu laporan akhbar dipetik berkata, kebakaran membabitkan 48 rumah kediaman dan lapan kedai.
Walau bagaimanapun, punca kebakaran deretan kedai dan rumah kediaman berstruktur kayu yang berusia hampir 60 tahun itu masih dalam siasatan pihak Bomba dan jumlah kerugian juga masih belum dapat dipastikan.
Semua mangsa kini ditempatkan sementara di Pusat Pemindahan Sementara Mangsa Kebakaran di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Karak, kira-kira 100 meter daripada lokasi kebakaran. – HRAKAHDAILY 6/10/2021


























