PAS Bentong sampaikan Bakul Prihatin Rakyat

- Advertisement -

BENTONG: PAS Kawasan Bentong dengan kerjasama PAS DUN Pelangai telah menyerahkan Bakul Prihatin Rakyat sumbangan Perikatan Nasional (PN) kepada para penduduk dalam DUN tersebut, di sini semalam.

Sebanyak 20 bakul makanan telah diagihkan kepada para penduduk yang dikuarantin akibat COVID-19 di Kampung Bukit Gajah, Kampung Hayat, Kampung Shafie, Kampung Kemasul, Kampung Lembah Jaya dan FELDA Kemahal.

- Advertisement -

Setiap kampung diwakili oleh Ketua PAS Cawangan (KPC) masing-masing iaitu Abdul Hamid Bahatim mewakili Kampung Kemasul, Idzhar Ahmad (Kampung Cemomoi), Jazam Ismail (Kmpung Bukit Gajah) dan FELDA Kemahal diwakili Naib KPC, Nizam Bakar.

Menurut Yang Dipertua PAS Bentong, Khairuddin Abdullah, sumbangan ini merupakan serahan terakhir Bakul Prihatin Rakyat PN yang diterima PAS Bentong sejak 16 Ogos lalu.

“Sebanyak 100 bakul makanan sumbangan PN telah diterima oleh PAS Bentong dan daripada jumlah itu, 80 bakul telah berjaya kita serahkan dan hari ini kita lunaskan 20 bakul makanan lagi yang masih berbaki.

“Terima kasih kepada Ketua-ketua PAS Cawangan yang memberi kerjasama terbaik memudahkan urusan serahan Bakul Prihatin Rakyat ini. 

“Semoga sumbangan ini dapat meringankan beban ditanggung penduduk yang terkesan akibat pandemik COVID-19 dan pastinya memberi sedikit kelegaan kepada ketua keluarga yang mungkin berhalangan untuk mendapatkan bekalan barang makanan ekoran dikuarantin,” ujar Khairuddin.

PAS Bentong juga cukup bertuah kerana ketika sama menerima serahan empat borang keahlian baru PAS dan satu borang penyertaan SkimPAS daripada penduduk sekitar DUN Pelangai, semalam.

“Kita memberi, dalam masa sama kita menerima. Inilah ‘konsep’ keadilan yang Allah susun sebagai motivasi dan semangat kepada manusia agar seronok dan gembira melakukan kebaikan. 

“Buat kerja, jangan tanya apa yang kita akan dapat. Serahkan urusan ‘reward’ itu pada Allah. Apa yang perlu kita fikir setiap hari adalah apa yang boleh kita bagi dan bagaimana cara nak bagi,” jelas Khairuddin bersemangat.

Rombongan PAS Bentong turut mengambil kesempatan menziarahi mantan Yang Dipertua PAS Bentong, Ustaz Abdul Hamid Bahatim dan Naib Yang Dipertua PAS Bentong, Samsuddin Abdullah.

Mereka turut menjadi sebahagian daripada penerima sumbangan ini berikutan telah dikuarantin akibat COVID-19 beberapa minggu lalu.

Hadir sama selaku orang kuat misi bantuan ini adalah Pengerusi Lajnah Kebajikan (LKK) PAS Bentong, Mustaffa Abu Bakar bersama wakil ahli jawatankuasanya, Fairuz Kasmuri. – HARAKAHDAILY 6/9/2021

- Advertisement -