Pembangkang perlu terima keputusan Agong

- Advertisement -

Oleh EVA NATASHA SADALI

KUALA LUMPUR: Tindakan pembangkang mempertikai keputusan pelantikan Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri, merupakan suatu penghinaan terhadap proses pelantikan berkenaan.

- Advertisement -

Menurut pakar perlembagaan, Dr Muhammad Fathi Yusof berkata, desakan pembangkang menggesa undi percaya dilakukan untuk menentukan keabsahan Ismail Sabri perlu selari dengan titah Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebelum ini.

“Daripada kronologi yang berlaku, apabila YDPA membuat keputusan, sepatutnya semua pihak menerima keputusan itu sebagai satu ketetapan.

“Kedudukan Perdana Menteri yang ditentukan itu perlu diiktiraf oleh semua pihak, ini satu prinsip yang penting sebab dalam sesebuah kerajaan, kita memerlukan satu sistem.

“Sistem ini perlu diterima oleh rakyat untuk mewujudkan kestabilan. Kalaulah sistem ini tidak diiktiraf, maka dia akan mewujudkan ketidakstabilan di dalam politik.

“Sebab itulah dalam konteks pelantikan Perdana Menteri, termasuklah Perdana Menteri yang yang sebelum ini Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dilantik, sepatutnya pembangkang mengambil sikap menerima perlantikan atau pemilihan yang telah dibuat oleh YDPA itu sebagai satu pelantikan yang sah.

“Mereka juga tidak wajar menimbulkan istilah-istilah seperti kerajaan tebuk atap, kerajaan pintu belakang dan sebagainya, kerana istilah-istilah itu sebenarnya menghina proses pelantikan itu sendiri,” ujar Muhammad Fathi.

Beliau berkata demikian ketika menjadi ahli panel di dalam Webinar Intelektual Negara bertajuk ‘Usul Undi Percaya: Masih Perlukah?’ yang bersiaran langsung di Youtube Pertubuhan Intelektual Negara, malam tadi.

Turut hadir selaku ahli panel, Pengerusi Kelab Usahawan dan Profesional Malaysia (KUPM), Dato’ Sri Dr Kamarul Rashdan Salleh, Timbalan Pengarah Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Kartini Aboo Talib@Khalid dan Timbalan Presiden Pertubuhan Intelektual Negara (PINTAR).

Sehubungan itu katanya, kenyataan Istana Negara pada 18 Ogos lalu tidak wajar dijadikan hujah bagi menentukan keabsahan Perdana Menteri kerana konteksnya berbeza ketika ini.

“Kenyataan itu merupakan satu kenyataan dibuat dalam konteks sebelum pelantikan Perdana Menteri dalam keadaan YDPA memerlukan satu kenyataan yang serius, berani, dan juga jujur daripada semua Ahli Parlimen.

“Lalu dinyatakan bahawa kenyataan-kenyataan yang dinyatakan itu perlu disahkan melalui undian di dalam Parlimen yang dibuat secara terbuka.

“Saya percaya kenyataan dalam konteks itu untuk memastikan Ahli-ahli Parlimen memberikan kenyataan atau representasi kepada YDPA dengan memberikan kenyataan yang jujur, tidak menipu dan betul-betul mereka memberikan kepercayaan, itu situasi pada waktu itu.

“Dan apabila di dalam konteks perbincangan sekarang ini, bagi saya tidak lagi timbul kerana dalam tempoh tiga minggu lalu, Perdana Menteri sudah dilantik,” tambahnya.

Justeru katanya, pelaksanaan undi percaya perlu ditentukan kerajaan sama ada perlu dilakukan atau sebaliknya.

“Sama ada perlu atau tidak undi percaya dilakukan, terpulang kepada kerajaan dan terpulang kepada proses perbincangan di antara Perdana Menteri dan juga Yang di-Pertuan Agong.

“Bagi saya tak timbul lagilah kenyataan seperti yang disebut oleh Pakatan Harapan (PH) berkenaan dengan isu itu sebenarnya, PH sepatutnya menggunakan kepercayaan dan ruang yang yang diberikan oleh kerajaan,” katanya.

Tambah beliau, pendekatan penting perlu dilakukan kedua-dua pihak, antara kerajaan dan pembangkang bagi mewujudkan kestabilan politik iaitu melalui reformasi Parlimen.

“Ini juga disebut di dalam kenyataan awal Ismail Sabri tentang reformasi parlimen yang akan dilaksanakan, apabila beliau mula-mula dilantik sebagai Perdana Menteri.

“Dalam konteks reformasi Parlimen ini sebenarnya kedudukan wakil-wakil rakyat pembangkang sangat penting, sama ada untuk melaksanakan tanggungjawab mereka di dalam sidang Parlimen sendiri dengan memberikan kritikan yang membina, pandangan yang bernas.

“Juga, peranan di dalam Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang diwujudkan bagi memberi ruang kepada mereka memberikan pandangan-pandangan, kritikan dan juga maklum balas berkaitan dengan dasar-dasar kerajaan.

“Saya percaya kalau diaktifkan fungsi parlimen sedemikian rupa, sepatutnya pemimpin-pemimpin pembangkang tidak lagi mempertikaikan keabsahan Perdana Menteri, kerajaan dan sebagainya, tetapi memberikan sumbangan kepada rakyat melalui fungsi di dalam parlimen itu sendiri dan juga di dalam jawatankuasa yang diwujudkan oleh kerajaan,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 6/9/2021

- Advertisement -