Pelantikan Muhyiddin terima reaksi positif

- Advertisement -

Oleh SRIHAYANIS ABASRI

KUALA LUMPUR: Pelantikan Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin bertaraf menteri mengundang reaksi positif pelbagai pihak.

Pelantikan itu juga membuktikan kemampuan beliau menerajui MPN memimpin negara berdepan Covid-19, kata Pensyarah Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr Wan Rohila Ganti Wan Abdul Ghapar.

- Advertisement -

Menurutnya, dengan pelantikan itu, tidak dapat dinafikan kabinet Muhyiddin berjaya mengharungi pandemik Covid-19, ia wajar diberi pujian.

“Hari terakhir sebelum beliau meletak jawatan, kadar vaksinasi sudah berada di tahap memberangsangkan dan kadar kemasukan pesakit positif Covid-19 ke unit rawatan rapi (ICU) juga berkurangan ekoran daripada kejayaan program vaksinasi kebangsaan.

“Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) Fasa Tiga juga sudah bersedia untuk dibayar kepada rakyat yang layak, sekaligus meringankan bebanan mereka terutama bagi yang kehilangan pekerjaan.

“Bantuan Prihatin Nasional (BPN) Fasa Dua pula telah berjaya disalurkan kepada rakyat pada Jun 2021,” ujarnya ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Katanya, pelantikan itu sebagai kesinambungan kerja berpasukan dan kerangka Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang sudah digarap sebaik mungkin oleh pakar dalam bidang masing-masing.

“Maka, adalah satu kerugian jika agenda PPN tidak diteruskan atas faktor-faktor politik.

“Muhyiddin Yassin yang pernah mengetuai PPN sudah tentu perlu dibawa masuk semula kerana kesinambungan gerak kerja adalah kritikal pada waktu ini.

“Namun, sebahagian rakyat melihat kerajaan baharu tidak ada idea baharu yang masih bergantung kepada kerajaan lama.

“Malah, ada yang melihat sepatutnya Muhyiddin Yassin tidak perlu meletak jawatan jika ini pengakhirannya dan menganggap kerajaan baharu ketandusan idea baharu serta lemah.

“Perkara ini dikuatkan lagi apabila terdapat kementerian yang menerima jumlah penasihat yang ramai. Sedangkan, sudah mempunyai barisan timbalan menteri dan penjawat awam yang mahir dengan bidang tugas masing-masing.

“Ini menjadi bahan sinikal rakyat, sekaligus menunjukkan kepada schemes of politics masih lagi berleluasa dalam kerajaan baharu,” ujarnya.

Bagaimanapun, beliau berpendapat bahawa Muhyiddin menggalas tangungjawab yang sangat berat untuk membuktikan pelantikan beliau bukan atas sebarang pertimbangan dan pujukan politik.

Justeru, pengumuman awal Muhyiddin untuk tidak mengambil sebarang imbuhan atas pelantikan tersebut sedikit melegakan.

Namun katanya, rakyat masih tetap memerhati sejauh mana kekuatan dan kemampuan Muhyiddin untuk memulihkan negara. – HARAKAHDAILY 6/9/2021

- Advertisement -