
Oleh SYAHIRAH SALLEH
KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) selesai menjalankan kajian untuk mewujudkan Akta Warga Emas sebagai persediaan Malaysia menuju Negara Tua pada tahun 2030.
Timbalan Menterinya, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff, berkata hasil utama kajian itu digunakan untuk menyediakan draf Rang Undang-Undang (RUU) Warga Emas.
Katanya, RUU itu bertujuan melindungi hak dan kebajikan warga emas, termasuk hak, penjagaan, perlindungan, pemerkasaan dan sokongan yang merangkumi keluarga dan komuniti.
“Bagi menyediakan perancangan yang teliti dan berupaya menjamin kesejahteraan dan kelangsungan hidup warga emas, KPWKM mengambil inisiatif dengan melaksanakan beberapa kajian.
“Kajian yang dijalankan ialah pertama, kajian diagnostik bagi membentuk model penjagaan warga emas jangka masa panjang yang bersepadu dan mampan. Kedua, kajian kandungan, pendekatan dan skop bagi mewujudkan satu akta khusus untuk warga emas di Malaysia.
“Ketiga, kajian berhubung persediaan menjadi Negara Tua 2030 dan Bandar Mesra Usia (Taiping),” katanya ketika menggulung Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi kementerian itu, di Dewan Rakyat, hari ini.
Menurut Siti Zailah, KPWKM komited untuk memastikan kesejahteraan golongan warga emas melalui usaha bersepadu berterusan untuk meningkatkan penjagaan, perlindungan dan sokongan yang membolehkan mereka menjadi anggota masyarakat yang sihat, aktif dan produktif.
Selain itu, katanya kementerian mewujudkan ekosistem yang menyokong warga emas produktif melalui peluasan penubuhan Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) di 222 Parlimen di bawah projek RMK11 dan RMK12.
“Setakat ini, sebanyak 143 PAWE ditubuhkan, meliputi 131 Parlimen dan memberi manfaat kepada 49,675 warga emas. PAWE ialah tempat warga emas menjalankan aktiviti harian dalam komuniti serta menyediakan perkhidmatan bercorak pendampingan sosial dan pembangunan kepada warga emas,” katanya.
Katanya, PAWE merupakan kerjasama strategik antara KPWKM dengan agensi kerajaan lain serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Selain itu, katanya sistem Sistem Warga Emas Nasional (e-WEN) akan dilancarkan sebagai pangkalan data bersepadu nasional warga emas dan program intergenerasi akan terus dipromosi untuk memperkukuh interaksi antara generasi.
“Kempen kesedaran mengenai kehidupan hari tua yang sihat akan dipergiat, manakala penjagaan warga emas akan dijadikan sebagai kerjaya profesional dan program bantuan sosial sedia ada akan diselaras untuk memperkukuh perlindungan sosial bagi warga emas,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/10/2021




















