
Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL
KOTA BHARU: Seorang peniaga atas talian warganegara Kemboja mengaku memperdayakan seorang imam masjid berkaitan perniagaan emas yang tidak wujud.
Shah Jahan Sazali, 36, didakwa menipu mangsa, Mad Rozali Botok, 65, antara 9 Ogos sehingga 12 September lalu.
Dalam tempoh tersebut mendorong mangsa bertindak menyerahkan wang sebanyak RM24,200 kepada tertuduh pada kejadian di Pangsapuri Bandar Baru Kubang Kerian.
Enam pertuduhan dibacakan jurubahasa, Mohd Izdham Naim Che Ani terhadap tertuduh.
Berikutan itu Majistret Mohd Izdham Naim Che Ani menjatuhkan hukuman tiga tahun penjara dan enam sebatan kerana menipu manga yang juga bakal mertuanya.
Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan jika disabitkan kesalahan tertuduh boleh dikenakan penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun serta sebatan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Yusnaliza Mohammad Yusoff, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Intan Nor Nadhirah Ismail.
Manakala pada prosiding berlainan, tertuduh mengaku salah terhadap tujuh pertuduhan yang membabitkan kes penipuan terhadap mangsa sama dan seorang lagi mangsa di hadapan Majistret Muhammad Fitri Mokhtar. – HARAKAHDAILY 6/10/2021











