
Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN
KUALA LUMPUR: Konflik antara manusia dan gajah dibangkitkan Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid, yang bimbang pencerobohan haiwan itu bukan saja mengancam nyawa manusia, malah memusnahkan hasil tanaman penduduk.
Katanya, aduan terhadap masalah ini masih diterima hingga menggusarkan penduduk dan mahu kerajaan mengambil tindakan proaktif dan menyeluruh menyelesaikan isu ini untuk jangka panjang.
“Sebelum ini, kerajaan ada melancarkan inisiatif melalui Program Perlindungan dan Rondaan Biodiversiti (BP3) yang disertai veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Orang Asli sebagai renjer untuk membantu kakitangan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitan).
“Saya menyambut baik inisiatif ini dan ingin bertanya sejauh manakah keberkesanan program ini yang bukan sahaja menyelesaikan pencerobohan gajah liar, malah perburuan dan pembalakan haram di negara ini,” katanya ketika membahaskan usul Rancangan Malaysia Ke-12 di Dewan Rakyat di sini, hari ini.
Che Alias juga meminta Kementerian Kerja Raya memberitahu tarikh sebenar Hospital Kemaman yang kini dalam pembinaan dijangka siap.
Beliau mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan yang meluluskan projek pembinaan hospital baharu berharga RM420 juta di Bandar Baru Kijal.
“Saya ingin mendapatkan maklum balas kementerian berkenaan mengenai kemajuan projek ini. Setakat ini, adakah dapat disiapkan seperti dijadualkan pada 19 Disember 2021. Kalau kita lihat beberapa bulan lagi. Saya harap kementerian dapat memberikan penjelasan tarikh sebenar dijangka siap,” katanya.
Ahli Parlimen Kemaman juga meminta kerajaan segera membina Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) yang baharu kerana bangunan sedia ada tidak lagi sesuai dengan pertambahan anggota polis, selain tidak memberikan keselesaan kepada rakyat.
“Tapak IPD telah disediakan dan saya yakin dapat dilaksanakan dengan kerjasama kerajaan negeri,” katanya.
Sementara itu, beliau menyambut baik usaha kerajaan untuk melakukan pendigitalan perkhidmatan awam yang dapat meningkatkan keberkesanan sistem penyampaian kepada rakyat.
Katanya, perkara itu adalah cabaran bukan sahaja kepada penjawat awam, malah kepada kerajaan kerana perlu memastikan 100 peratus kakitangan celik digital.
“Oleh itu, bagi penjawat awam yang belum celik teknologi perlu diberi penekanan dan pendedahan awal melalui program yang dirangka agar dapat bersaing secara global,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/10/21




















